GAMBAR yang dikongsi Shahira menerusi FB miliknya. FOTO Facebook
GAMBAR yang dikongsi Shahira menerusi FB miliknya. FOTO Facebook
Suraya Roslan


“TOLONGLAH, dah 24 jam kami terkandas. Kami tiada makanan, depan dan belakang air (sudah) naik.”

Itu luah Shahira Dasmin selepas dia sekeluarga terperangkap di Jalan Mawai berdekatan kawasan Kubu di Mersing, hari ini.

Keadaan itu menyebabkan Shahira tiada pilihan melainkan terpaksa menggunakan Facebook (FB) untuk mendapatkan bantuan selepas kawasan itu terputus hubungan.

Insiden itu berlaku pada 3 pagi, semalam, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kulai selepas menghantar ayahnya di Tenggaroh, Mersing.

“Ya, masih terperangkap,” katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro menerusi Facebook sebentar tadi.

Shahira bersama suami dan seorang anak masih bayi turut menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan bantuan, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil.

Selain Shahira sekeluarga, dipercayai beberapa lagi pengguna jalan raya turut terperangkap di lokasi berkenaan selepas jalan berkenaan dinaiki air berikutan banjir melanda beberapa daerah di Johor.

“Kereta saya, kemudian ada lima lagi kereta di belakang dan sebuah lori. Kami tiada makanan, hujan semakin lebat dan air makin naik,” katanya.

Menerusi hantaran yang dikongsi dalam FB, Shahira berkata: “Kuasa viral (tular) itu hebat. Tolong kami tersadai di tengah jalan. Ke depan tak boleh, ke belakang pun tak boleh. Makanan tak ada. Seharian kami tak makan apa-apa.

“Kiri kanan hutan laluan gajah. Dekat area (kawasan) saya ada enam orang. Depan jalan air yang tak lepas ada kereta dengan lori.

“Tidak pasti berapa orang... dah cuba cari ikhtiar dari pagi call (panggilan) macam-macam tapi sampai sekarang tak dapat bantuan. Dah nak malam lagi. Kereta tak balik pun tak apa. Orang mesti kena balik.

“Dah lebih 24 jam terkandas dekat Jalan Mawai. Dekat area Kubu, tak balik-balik rumah. Tiada makanan. Depan belakang air naik. Kami tersangkut tengah-tengah. Dengar kata air naik malam ini. Allah selamatkan kami,” tulisnya.

STATUS yang dikongsi Shahira menerusi FB miliknya. FOTO Facebook
STATUS yang dikongsi Shahira menerusi FB miliknya. FOTO Facebook

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 9:04 PM