KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Polis
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 86, Lebuhraya Central Spine Road, di Lipis, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa, Mohd Shaiful Abdul Manaf, 42, dan Wan Khairul Anwar Wan Kamarunzaman, 32.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua mangsa menaiki kereta bersama seorang lagi rakan dan mereka dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Sebaik di tempat kejadian, pemandu kereta berkenaan, Nukman Salleh, 39, dipercayai terlelap sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa muatan pakaian terpakai yang berada di lorong kecemasan.

“Akibat kejadian itu, Mohd Shaiful yang duduk di tempat duduk hadapan dan Wan Khairul Anwar yang duduk di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian, akibat parah di kepala dan badan,” katanya, hari ini.

Katanya, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu kereta berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian,” katanya.

Azli berkata, siasatan mendapati permukaan jalan basah berikutan selepas hujan dan keadaan berkabus.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:57 AM