DR Azman bersama nukilannya sebagai perangsang kepada ibu bapa serta pelajar yang dimuat naik sebelum tular di media sosial.
DR Azman bersama nukilannya sebagai perangsang kepada ibu bapa serta pelajar yang dimuat naik sebelum tular di media sosial.
Norizuan Shamsuddin


“PERKONGSIAN pengalaman dan kisah hidup saya itu sebenarnya untuk memberikan perangsang kepada ibu bapa dan pelajar tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Pada masa sama, ia bertujuan menyedarkan ibu bapa walaupun anak mereka tidak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran, perkara itu bukan penentu kejayaan pada masa akan datang kerana perjalanan mereka masih jauh,” kata Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Berpusat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Azman Azid.

Perkongsian kisah hidupnya yang tidak mendapat keputusan cemerlang ketika peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimuat naik di Facebook sejak Khamis lalu tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Beliau berkata, nukilan kisah hidupnya itu dimuat naik di media sosial selepas rakannya memaklumkan kegusaran terhadap anaknya yang tidak mendapat keputusan semua A dalam UPSR diumumkan pada Khamis lalu.

DR Azman bersama keluarga.
DR Azman bersama keluarga.

“Saya tulis kisah itu untuk dikongsikan kepada rakan. Pada mulanya, saya ingin menghantar secara peribadi kepada rakan, namun terlintas di fikiran untuk memuat naik kisah itu di media sosial kerana ramai kenalan menghadapi perkara sama.

“Tak sangka ia menjadi tular sehingga ramai berkongsi dan menyebarkan nukilan itu.

“Ramai memberikan reaksi positif di ruangan komen kerana nukilan itu menjadi pembakar semangat kepada ibu bapa dan pelajar kurang cemerlang,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Menceritakan kisah hidupnya, beliau berkata, dia hanya mendapat keputusan 2B dan 2C ketika UPSR dan hanya memperoleh Gred 2 sahaja dalam peperiksaan SPM sebelum menyambung pengajian ke peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (ITM) dalam jurusan Mikrobiologi.

Dr Azman, 40, berkata dia mengambil peperiksaan UPSR pada 1991 dan SPM pada 1996.

Anak kelahiran Felda Panching Selatan, Pahang itu berkata, berbekalkan semangat untuk mengubah kehidupan keluarga, beliau menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) yang dilakukan secara sambilan kerana bekerja.

“Saya sentiasa mencabar diri supaya menjadi sesuatu dapat memberikan kesenangan kepada keluarga dan orang sekeliling.

“Saya bersyukur kerana sokongan dan dorongan ibu bapa serta isteri banyak membantu sehingga saya berjaya sekarang.

“Malah, sewaktu mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menyambung PHD di UniSZA, isteri dan ibu bapa yang berkorban menanggung keluarga dan keputusan untuk berhenti kerja itu hasil perbincangan dengan mereka demi mengubah kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Dr Azman berkata, beliau berhasrat untuk menulis semula kisah hidupnya untuk dibukukan pada masa akan datang sebagai perangsang kepada ibu bapa dan pelajar.

“Kepada ibu bapa, jangan bersedih sekiranya anak anda tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR sebab perjalanan mereka masih panjang.

“Bagi pelajar pula, jangan terus mengalah apabila tidak dapat keputusan cemerlang sebaliknya teruskan berusaha dan pandanglah apa yang akan jadi kepada anda pada lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:18 PM