Siti A’isyah Sukaimi


LELAKI warga Indonesia ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian bertumbuk di Pintu Utama Grandstand Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, dalam kejadian 3.45 petang itu, suspek berusia 32 tahun dipercayai menumbuk petugas lelaki berusia 24 tahun.

“Puncanya apabila lelaki warga Indonesia itu ditegur kerana menendang pagar. Mangsa bertugas di Pintu Utama Grandstand SIC sebelum suspek terbabit menendang pagar.

“Mangsa yang menegur lelaki itu kemudiannya diserang dan ditendang. Dalam kejadian itu mangsa cedera di bibir,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa menerima lima jahitan dan suspek terbabit ditahan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, video kejadian bertumbuk di Pintu Utama Granstand SIC tular di Facebook serta dikongsi netizen.

Semalam, SIC menjadi lokasi bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia.

RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:47 AM