Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


JENAZAH Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif, 43 atau Pitt Hanif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat, Kuala Lumpur jam 2 pagi, hari ini.

Terdahulu, jenazah pengarah filem Coast Guard itu yang juga anak kepada seniwati Fauziah Nawi, 66, dibawa dari rumah ibunya di Taman Melati, Setapak, jam 1.30 pagi sebaik tiba dari Hospital Kuala Lipis, Pahang.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Suasana pilu menyelubungi tapak perkuburan itu sebaik jenazah diangkat dan dimasukkan ke liang lahad.

Paling terkesan dengan pemergian arwah ialah ibunya dan isteri, Farah Ahmad, 42 serta tiga anak perempuan mereka berusia tujuh hingga 16 tahun.

Malah, barisan artis tanah air yang rapat dengan arwah turut menangisi kehilangan besar itu.

Majlis bacaan tahlil dan doa disempurnakan Ketua Bilal Masjid Al Ansar, AU2, Keramat, Shamsul Bahari Aminullah.

Portal berita akhbar ini kelmarin melaporkan Pitt Hanif dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama rakan, Sham Mokhtar, 38 terbalik dan terbelah dua ketika mereka memancing di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis, Pahang.

Dalam kejadian 11 pagi itu, bot fiber yang dinaiki dikatakan merempuh tiang besi sebuah jambatan menyebabkan Pitt dan Sham tercampak ke dalam sungai.

Sham yang juga Pengarah Fotografi filem itu berjaya menyelamatkan diri namun Pitt yang cuba berenang dibawa arus deras sebelum tenggelam.

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat Pitt jam 4.25 petang iaitu 500 meter dari lokasinya terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 6:40 AM
FARAH dan anak bongsunya menyiramkan air mawar ketika pengebumian jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam AU2 Keramat pagi ini. FOTO MOHD SAFWAN MANSOR
FARAH dan anak bongsunya menyiramkan air mawar ketika pengebumian jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam AU2 Keramat pagi ini. FOTO MOHD SAFWAN MANSOR