Amirul Haswendy Ashari


“KALAU kita buka ni, agaknya air cepat turun.”

Itu idea spontan Azharique Shah, 21, dan adik iparnya, Tanzel Rahman, 19, susulan air bertakung akibat banjir kilat di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur semalam.

Idea mereka membuka penutup saluran air ketika kenderaan terperangkap dalam banjir kilat berjaya mengalirkan air keluar melalui saluran di tepi jalan raya.

Usaha mereka membuka saluran di setiap 100 meter sepanjang jalan raya dan menutup selepas banjir surut mendapat pujian ramai kerana membantu mengurangkan kesesakan jalan raya akibat banjir kilat.

Isteri Azharique, Iram Naz, 23, berkongsi kejadian itu melalui akaun Twitter @datininaz sekali gus tular dengan hampir 20,000 ulang ciap dan 16,000 tanda suka sejak semalam.

“Kami sebenarnya nak ke pusat bandar raya kerana ada urusan kerja tapi disebabkan hujan lebat, kami buat pusingan ‘U’ nak balik ke rumah dan melalui Jalan Genting Klang menuju Wangsa Maju.

“Sebaik berada di depan sebuah bank, air naik dengan pantas menyebabkan kami terperangkap dalam trafik yang tidak bergerak.

“Kami cuba keluar ke laluan kiri dan beranggapan kedudukan tanah lebih tinggi tapi rupa-rupanya untuk masuk ke situ kami kena lalui kawasan lebih rendah dan dipenuhi air,” katanya.

Iram Naz yang mesra disapa sebagai Inaz berkata, mereka terpaksa memberhentikan kereta selain mahu memberitahu keluarga.

Menurutnya, ketika berhenti, mereka ternampak penutup saluran air dipercayai jadi penghalang kepada air dari permukaan jalan raya mengalir masuk ke dalam longkang.

“Nampak air sangat bersih dan agak jernih, tiada sampah sarap, jadi adik dan suami tanya, kalau dibuka penutup itu pasti air cepat surut.

“Apatah lagi di depan kami ada tiga hingga empat kereta sudah ‘mati'. Jadi kami cuba mencari jalan penyelesaian walaupun kelihatan mustahil,” katanya.

Azharique dan Tanzel berdiri di penutup saluran air yang dibuka mereka ketika banjir kilat semalam. FOTO Ihsan Iram Naz
Azharique dan Tanzel berdiri di penutup saluran air yang dibuka mereka ketika banjir kilat semalam. FOTO Ihsan Iram Naz

Tanpa lengahkan masa, suami dan adiknya cuba membuka satu penutup dan air mulai mengalir laju ke dalam longkang.

Katanya, ia adalah saluran air tetapi lubang bukaan penutup saluran itu agak sempit menyebabkan proses air mengalir jadi lambat.

“Bukaan pertama berjaya, kami jalan cari saluran lain yang nampak seperti air sedang tersekat.

“Suami dan adik buka semua saluran di setiap 100 meter sepanjang jalan dan tutup semula lepas banjir surut.

“Sementara menunggu mereka mencari saluran air, saya tunggu berhampiran lubang yang terbuka untuk memberi amaran kepada penunggang motosikal, bimbang tayar motosikal termasuk lubang,” katanya.

Inaz bersyukur ramai pemandu kenderaan yang terperangkap sebelum itu meluahkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

“Sampai ke malam suami dan adik saya tersengih-sengih sebab puas hati dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik akibat banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:00 PM
Azharique dan Tanzel membuka penutup saluran air ketika banjir di Jalan Genting Klang semalam. FOTO Ihsan Iram Naz
Azharique dan Tanzel membuka penutup saluran air ketika banjir di Jalan Genting Klang semalam. FOTO Ihsan Iram Naz