MOHD Ilhamy berkongsi pengalamannya menduduki ujian pertengahan tahun dalam keadaan gelap di Twitter. FOTO Ihsan Mohd Ilhamy Mohd Nahzery
MOHD Ilhamy berkongsi pengalamannya menduduki ujian pertengahan tahun dalam keadaan gelap di Twitter. FOTO Ihsan Mohd Ilhamy Mohd Nahzery
Redzuan Muharam


AKIBAT masalah bekalan elektrik, sekumpulan penuntut Sarjana Muda Undang-Undang sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Selangor terpaksa menjawab soalan peperiksaan dalam keadaan bergelap dengan hanya diterangi cahaya lampu daripada telefon bimbit.

Pengalaman itu dikongsikan seorang penuntut semester dua, Mohd Ilhamy Mohd Nahzeri menerusi ciapan gambar di Twitter miliknya, Jumaat lalu.

Ciapan itu mengundang pelbagai reaksi dan sehingga kini mendapat 28,300 tanda suka serta 22,100 ulang ciap oleh warganet.

Menceritakan kisah sebenar, Mohd Ilhamy berkata, bekalan elektrik terputus ketika dia dan rakan sekuliah sedang menjawab soalan ujian pertengahan tahun bagi subjek Undang-Undang Antarabangsa.

Katanya, masalah yang pertama kali berlaku itu menyebabkan ada antara calon terpaksa berkongsi telefon bimbit dengan rakan di sebelah mereka.

“Kejadian (lampu terpadam) itu berlaku Jumaat lalu tidak lama selepas ujian bermula dan sebenarnya, bukan sekali tetapi lampu berkenaan terpadam sebanyak tiga kali.

“Memandangkan hanya ada satu jam 15 minit saja masa diberi untuk menjawab soalan, semua penuntut yang ada di dewan terpaksa mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk menghidupkan lampu suluh (telefon bimbit) masing-masing.

“Ada juga yang tidak membawa bersama telefon bimbit masuk ke dalam dewan jadi mereka terpaksa berkongsi dengan rakan yang duduk bersebelahan.

“Namun, kami akhirnya dipindahkan ke dewan kuliah yang lain dan diberi masa tambahan sebanyak 10 minit untuk menjawab soalan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

MOHD Ilhamy Mohd Nahzeri. FOTO Ihsan Mohd Ilhamy Mohd Nahzery
MOHD Ilhamy Mohd Nahzeri. FOTO Ihsan Mohd Ilhamy Mohd Nahzery

Menurut Mohd Ilhamy, gambar yang dimuat naik di Twitter, baru-baru ini, hanyalah bertujuan untuk berkongsi suasana dan pengalaman menjawab soalan dalam keadaan gelap.

Namun, perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas hingga ada di antara warganet yang mempersoalkan beberapa perkara antaranya buku di atas meja dan bagaimana telefon bimbit boleh dibawa masuk ke dewan peperiksaan.

“Untuk pengetahuan, tiada halangan untuk membawa telefon bimbit dan buku (akta) berkenaan ke dalam dewan peperiksaan.

“Manakala, kami duduk rapat dengan satu sama lain kerana ujian itu diadakan di dalam bilik kuliah dan bukannya dewan besar.

“Bagaimanapun, ada warganet menyangka ada antara kami menggunakan peluang yang ada untuk meniru sedangkan tiada sebab untuk berbuat begitu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:47 PM