Kesan luka akibat pintalan dawai yang semakin mendalam. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Kesan luka akibat pintalan dawai yang semakin mendalam. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Alias Abd Rani


HAMPIR 10 jam masa diambil pasukan penyelamat untuk memotong satu persatu dawai yang diikat pada bahagian perut anjing selepas haiwan itu ditangkap semalam.

Operasi merawat anjing itu bermula 7 malam membabitkan pasukan perubatan Klinik Veterinar Putra di Nilai, Negeri Sembilan yang mengambil masa lama susulan dawai diikat terbenam di dalam badan haiwan terbabit.

Anjing itu menderita sejak setahun lalu angkara perbuatan zalim sebelum berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang berdekatan sebuah pasar raya di Nilai.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, operasi menyelamat anjing yang diberi nama ‘anjing dawai’ dilakukan pasukan penyelamat yang ditubuhkan khas dengan kerjasama pihaknya.

Katanya, sebaik ditangkap, pasukan penyelamat mendapati luka semakin dalam, terdapat kesan koyakan di bahagian perut dan kemaluan terkeluar.

“Operasi memotong dawai berakhir 4.30 pagi tadi dan Animal Malaysia mengucapkan terima kasih kepada penyelamat atas kerelaan membantu misi tangkapan anjing ini.

“Kami berterima kasih kepada Doktor Veterinar Dr Alia Azri dan Pembantunya, Nor Intan Izaidah dari Klinik Veterinar Putra Nilai Negeri Sembilan yang turut sama menyelamat haiwan ini,” katanya ketika dihubungi.

Keadaan perut anjing yang dililit dawai pada perut haiwan itu sebelum ini. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Keadaan perut anjing yang dililit dawai pada perut haiwan itu sebelum ini. FOTO Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

Pada masa sama katanya, pasukan Shelter Furrykids Safeheaven dari Seremban turut menyatakan kesudian merawat, menjaga serta mengubat luka hingga sembuh.

“Untuk tempoh beberapa bulan ini, mereka akan menjaga termasuk rawatan pemandulan dan kos keseluruhan RM3,000,” katanya.

Kejayaan menangkap dan rawat haiwan itu turut dikongsikan dalam Facebook Persatuan Haiwan Malaysia dan mendapat maklum balas positif daripada netizen.

Rata-rata netizen memuji kesungguhan pasukan penyelamat membantu memberi rawatan kepada haiwan terbabit.

Sebelum ini, pada 22 Ogos lalu portal Harian Metro melaporkan orang ramai terserempak haiwan terbabit dengan perutnya diikat dengan dawai dan kesan ikatan yang ketat menyebabkan kemaluan terkeluar.

Perbuatan zalim itu menyebabkan haiwan terbabit sering melarikan diri sebaik terserempak dengan manusia.

Animal Malaysia menerima beberapa keping gambar daripada orang ramai mengenai insiden menimpa seekor anjing di Nilai itu.

Anjing dewasa itu ditemui orang awam berlegar-legar di sekitar bandar itu dan siasatan Animal Malaysia berdasarkan gambar diberikan menunjukkan terdapat pintalan dawai dipercayai dilakukan manusia dan bukannya berlaku secara tidak sengaja.

Berita berkaitan

Khianat sungguh...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 10:00 PM