Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KUALA LUMPUR: Murninya hati doktor veterinar ini kerana sanggup menyelamatkan dan merawat kira-kira 200 anjing liar dengan kos sendiri meskipun tindakannya mendapat cemuhan segelintir masyarakat.

Bagaimanapun, cemuhan itu tidak menjadi kudis kepada dirinya dan sebaliknya lebih giat memanfaatkan kepakarannya membantu haiwan berkenaan tanpa mengambil pusing pandangan serong orang ramai.

Dr Muhamad Taqiyudin Zainal Ulum, 31, berkata, baginya anjing sama seperti haiwan lain yang perlu diberikan rawatan sekiranya sakit, mendapat perhatian dan kasih sayang.

Kata beliau, malangnya hanya kerana anjing adalah haiwan najis menyebabkan masyarakat mewujudkan stigma negatif dan jurang terhadap haiwan itu.

“Islam agama yang mudah dan indah yang mana seseorang itu boleh melakukan proses sertu apabila menyentuh najis berat iaitu anjing.

“Saya juga tidak mempunyai masalah untuk melakukan proses ini (sertu) berulang kali dalam masa sehari selepas merawat anjing,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.

Ini kerana, menurutnya, tanggungjawab doktor veterinar ialah memberikan rawatan kepada semua haiwan termasuk anjing dan khinzir tanpa pilih kasih.

Berkongsi pembabitan awalnya membantu dan merawat anjing secara percuma, Dr Muhamad Taqiyudin berkata, ia bermula pada 2015 apabila seekor anjing yang mengalami kecederaan patah kaki datang ke rumahnya.

“Kemudian saya membawa haiwan ini ke klinik saya di Klang untuk diberikan rawatan. Sepanjang proses pemulihan, anjing ini tinggal di rumah saya di ruangan khas yang disediakan.

“Bagaimanapun, selepas pulih daripada kecederaan, anjing ini enggan meninggalkan rumah saya dan berada di bawah jagaan saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada jiran yang menegur kerana bunyi bising salakan anjing. Disebabkan itu juga bapanya yang aktif di masjid turut terkena tempias pandangan serong masyarakat.

“Saya gembira kerana ayah tidak pernah mengambil hati dengan perkara itu dan tidak menghalang saya untuk terus membantu serta merawat anjing.

“Malah, ayah turut membantu memberikan makanan kepada anjing yang dalam proses pemulihan. Lazimnya saya akan melepaskan semula anjing yang sudah pulih daripada kecederaan,” katanya.

Dr Muhamad Taqiyudin berkata, dia membantu anjing liar yang dijumpai di tepi jalan secara tidak sengaja sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke rumah.

“Setiap anjing ini saya bawa ke klinik dan memberikan rawatan termasuk mengembirikan haiwan itu,” katanya.

MEMBERI anjing makan selepas dirawat.
MEMBERI anjing makan selepas dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:40 AM