SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KENYATAAN terbaru syarikat penghantaran makanan, Foodpanda yang mendakwa tidak terkesan dengan mogok yang dilakukan penunggangnya dianggap tindakan angkuh.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sesebuah syarikat korporat dapat dibangunkan dan dijatuhkan pekerjanya, ia juga boleh berlaku pada Foodpanda yang dibangunkan bersama pekerja dan pelanggan.

“Sebagai #Yangberkhidmat, saya dipilih oleh rakyat dan boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna, dan boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan penyelesaiannya,” katanya menerusi ciapan Twitternya, malam ini.

Pengarah Urusan syarikat, Sayantan Das, dalam taklimatnya memaklumkan, syarikat itu tidak berdepan masalah jika penghantar makanan mahu mogok kerana tidak berpuas hati dengan skim bayaran terbaru yang diperkenalkan.

Dalam skim baru bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Tindakan itu memberi kesan kepada penghantar makanan yang sebelum ini menerima bayaran RM4 sejam selain mendapat bayaran tambahan jika menghantar pesanan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 11:33 PM