LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
Nurul Hidayah Bahaudin


FASILITI milik doktor sakit puan, DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak penubuhannya.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, walaupun banyak perbincangan dan usaha dilakukan CKAPS untuk memudah cara pelesenan premis itu, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor diberi supaya ia dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta yang sah.

“Pada 26 Februari 2016, CKAPS mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan berikutan memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM melanggar Peraturan 7(1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Param Jeeth berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam, adalah berdasarkan aduan awam diterima berkenaan premis itu kerana disyaki memiliki produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM.

“Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa adalah mengikut prosedur dan standard ditetapkan KKM, bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Sebelum pemeriksaan dilakukan, siasatan awal mendapati premis itu disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran,” katanya.

Menurut beliau, walaupun produk itu didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dilakukan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar berkenaan ditemui di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan terbabit dilakukan dengan penuh berhemah, beretika dan dalam keadaan yang tenang.

“Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli dan mengambil sebarang ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM yang dijual di pasaran.

“KKM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik dijual serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan.

“Orang ramai boleh membuat semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 selain memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan sebagai usaha bersama pihak KKM untuk membanteras penjualan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

“Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03 78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” katanya.

Berita berkaitan

Pejabat pakar perbidanan diserbu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:57 PM