Nur Syafigah (gambar kiri) dan hasil rakaman gambar pasangan pengantin dibuat jurugambar itu. Foto Ihsan Nur Syafiqah Azman
Nur Syafigah (gambar kiri) dan hasil rakaman gambar pasangan pengantin dibuat jurugambar itu. Foto Ihsan Nur Syafiqah Azman
Redzuan Muharam


“SAYA simpati dengan mereka dan cuba gunakan pengalaman yang ada untuk mendapatkan gambar terbaik bagi menyembunyikan kekurangan pada pakaian pengantin berkenaan,” kata jurugambar, Nur Syafiqah Azman, 24.

Dia berkongsi kisah di sebalik ciapan yang dimuat naik di Twitter miliknya, kelmarin.

Menerusi ciapan itu, Nur Syafiqah berkongsi pengalamannya ketika mengendalikan sesi fotografi pasangan pengantin yang berdepan masalah selepas persalinan dipakai mereka agak ketat, koyak dan longgar di bahagian bawah lengan.

Bagaimanapun, Nur Syafiqah berusaha membantu pasangan berkenaan dengan mengambil gambar daripada sudut sesuai supaya kekurangan yang ada itu tidak ketara kelihatan.

Menceritakan perkara sebenar, Nur Syafiqah berkata, dia hanya mengetahui masalah dihadapi pengantin pada hari sesi fotografi diadakan pada 31 Ogos lalu di Kampung Padang Nyiur di Kuala Nerang, Kedah.

“Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan pengantin dan mereka turut kecewa kerana tidak menerima persalinan seperti yang diharapkan.

“Bukan saja pakaian pengantin lelaki saja yang ketat hingga tidak dapat dibutang, malah bawah lengan persalinan pasangannya juga besar iaitu berbeza dengan ukuran asal.

“Ada juga kesan koyak pada kolar baju dan lengan mereka namun sebagai jurugambar, saya tidak mahu emosi pelanggan terganggu disebabkan masalah pada persalinan itu memandangkan masa yang ada terlalu suntuk.

“Jadi, saya cuba bantu pengantin lelaki menggayakan persalinan dengan sedikit kasual selain meyakinkan pasangannya untuk bertenang tanpa terlalu memikirkan masalah dihadapi ketika sesi fotografi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Walaupun berdepan cabaran berkenaan, Nur Syafiqah gembira kerana pasangan berkenaan memberi kerjasama yang baik sekali gus menjadikan sesi fotografi berjalan dengan lancar.

“Sejak menjadi jurugambar sepenuh masa dua tahun lalu, banyak pengalaman dilalui dan ada masanya masalah itu berlaku pada saat akhir dan di luar jangkaan.

“Jadi, saya harus sentiasa bersiap sedia dan bersikap profesional bagi meyakinkan pelanggan bahawa mereka akan mendapat kualiti gambar yang baik sekalipun berdepan masalah tertentu.

“Memang mencabar tetapi inilah cabarannya yang perlu dilalui sebagai jurugambar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:57 PM