Nor ‘Asyikin Mat Hayin

DIANGGARKAN rumah yang tidak terjual di seluruh negara bernilai kira-kira RM38 bilion dan nilai itu meningkat 337 peratus sejak 2015.

Sehubungan itu, kerajaan bercadang menganjurkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada warga asing kerana ia turut dikatakan mampu membantu memulihkan ekonomi negara.

Cadangan itu agak mengejutkan sedangkan masih ramai warga tempatan sukar untuk memiliki kediaman sendiri.

Kafe Ahad kali ini mewawancara Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) Ishak Ismail bagi mengulas isu ini.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, juruvideo, Amir Abdullah dan jurugambar, Mohd Fadli Hamzah.

ISHAK Ismail. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ISHAK Ismail. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Pendapat tuan mengenai cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing?

Saya tidak bersetuju dengan penganjuran kempen ini.

Saya lihat ada dua isu dalam kempen ini iaitu wujudnya lambakan rumah mewah disebabkan pemaju tidak dapat menjual rumah berstatus tinggi yang berharga lebih RM1 juta.

Isu kedua adalah menjual rumah itu kepada warga asing. Adakah kerajaan sanggup menggunakan duit pembayar cukai semata-mata untuk membantu pemaju memasarkan projek rumah mewah mereka kepada warga asing melalui kempen itu yang dibuat di dalam atau luar negara?

Pada saya, kita perlu serahkan masalah ini (lambakan rumah mewah) kepada kuasa pasaran yang ditentukan menerui penawaran dan permintaan.

Lebihan penawaran rumah membantu ‘menyejukkan’ harga hartanah. Maka harga rumah terus susut pada tahap yang lebih stabil dan munasabah apabila tiada permintaan (pembeli) yang akhirnya mereka (pembeli) boleh membeli rumah berkenaan.

Ramai melihat isu ini sebagai usaha kerajaan untuk membantu pemaju perumahan namun pada masa sama mungkin mengetepikan keperluan rakyat. Apa pandangan tuan?

Saya bersetuju dengan ini dan berpendapat kerajaan tidak perlu membantu pemaju selepas mereka tersilap dalam membuat keputusan membina rumah mewah dan bukannya rumah mampu milik.

Rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung cadangan itu.

Tambahan pula, rakyat ‘dinasihati’ mengikat perut, tetapi pada masa sama kerajaan membuka peluang kepada warga asing menjadi pemilik hartanah di negara ini dengan menggunakan wang pembayar cukai.

Pada 2002, kerajaan melancarkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk menarik ekspatriat membeli hartanah dan menetap di negara ini.

Mungkin apa yang dicadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin adalah sama konsepnya seperti MM2H.

Tetapi dalam penjelasan awal, Zuraida menyatakan HOC disasarkan kepada rumah mewah. Ini yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat negara ini.

Nilai rumah mewah tidak terjual dianggarkan RM100 bilion. Jika dilihat, pemaju bagaikan melebihkan pembinaan rumah mewah. Apa keperluan membina rumah mewah jika akhirnya tiada pembeli?

Ini kesilapan dilakukan pemaju yang membuat keputusan melebihkan pembinaan rumah mewah berbanding rumah mampu milik.

Antara faktor kesilapan itu adalah pemaju tidak membuat kajian kemungkinan dan pasaran terperinci sebelum membuat keputusan membina rumah mewah berbanding kediaman mampu milik.

Tidak dinafikan, pembinaan rumah mewah memberi keuntungan yang lebih besar berbanding kediaman mampu milik.

Tetapi perlu diketahui bahawa risikonya juga tinggi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengatakan HOC dapat mencairkan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan rumah mampu milik. Apa pendapat tuan?

Kenyataan ini mungkin ada benarnya. Ia sedikit sebanyak membantu merancakkan ekonomi negara dan menyelesaikan masalah pemaju.

Tetapi kita merasakan ada kesan negatif yang lebih buruk jika dilihat dari satu sudut saja.

Jika melihat kepada isu ini, masalah lebih penting yang perlu diberikan perhatian adalah adakah wajar kerajaan menggunakan duit pembayar cukai untuk dibelanjakan bagi mempromosikan kempen ini sama ada di dalam atau luar negara bagi menarik warga asing membeli rumah di sini.

Adakah ia satu pendekatan yang holistik dan berkesan?

Saya suka tekankan di sini bahawa tiada keperluan kerajaan membantu pemaju. Saya yakin pemaju yang membina rumah mewah ini mempunyai kewangan mencukupi untuk mempromosikan projek perumahan mereka termasuk di luar negara.

Contoh, di Selangor, warga asing dibenarkan membeli rumah yang harganya lebih RM1 juta manakala di Pulau Pinang rumah berharga lebih RM2 juta.

Tetapi promosi ini dilakukan sendiri pemaju tanpa pembabitan kerajaan.

Sebab itu saya merasakan rancangan ini (kerajaan bantu pemaju) tidak memberikan kesan baik sekiranya diteruskan.

Ketika ini, golongan muda mengeluh kerana kekurangan rumah mampu milik untuk dibeli. Pada masa sama, ada lambakan rumah mewah di pasaran. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ada mengeluarkan data lima tahun lalu mengenai lambakan rumah mewah dan berkemungkinan pemaju berpendapat laporan berkenaan tidak tepat.

Golongan muda yang baru bekerja menghadapi kekangan mendapatkan rumah pertama kerana pendapatan tidak mencukupi.

Tambahan pula rumah yang dikelaskan rumah mampu milik harganya agak tinggi iaitu antara RM150,000 dan RM300,000.

Saya berpendapat kerajaan perlu membuat definisi semula kepada tafsiran rumah mampu milik ini.

Harga rumah mampu milik RM300,000 di Lembah Klang adalah munasabah, tetapi harga itu tidak sesuai jika di bandar kecil seperti Kota Bharu, Kelantan atau Ipoh, Perak kerana rata-rata penduduknya berpendapatan sederhana dan rendah.

Tafsiran rumah mampu milik ini juga harus dilihat dalam konteks lokasi tertentu.

Bagaimana kerajaan boleh bantu golongan muda untuk membeli rumah pertama mereka memandangkan banyak rintangan seperti kelulusan bank perlu dilalui golongan ini?

Kerajaan perlu membuat polisi yang rumah mampu milik ini perlu lebih banyak dibina di lokasi strategik selain mudah mengakses kemudahan pengangkutan awam.

Pemilihan lokasi sangat penting.

Kerajaan juga perlu memastikan hanya satu agensi kerajaan bertanggungjawab membekalkan rumah mampu milik.

Ini kerana sekiranya pelbagai agensi diberikan tanggungjawab itu, kerajaan akan rugi kerana fungsinya bertindih.

Kerajaan juga perlu membuat pengumpulan data tepat bagi merekodkan jumlah golongan muda yang belum memiliki kediaman dan tempat mereka tinggal.

Kerajaan boleh bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan permohonan pembiayaan pinjaman daripada institusi kewangan diluluskan.

Semua faktor ini hendaklah dilihat secara holistik supaya golongan muda mendapat mesej bahawa kerajaan sangat prihatin untuk membantu mereka memiliki kediaman sendiri.

Nasihat kepada golongan muda dalam perancangan pemilikan rumah?

Kerajaan boleh membantu anak muda dalam pemilikan rumah namun mereka sendiri perlu membuat perancangan ke arah itu. Jangan beli kereta mewah ketika baru bekerja, sebaliknya peruntukkan sejumlah wang untuk simpanan bagi membeli aset seperti rumah.

Buat perancangan teliti untuk memudahkan kelulusan pinjaman bank. Ini secara tidak langsung memudahkan golongan muda memiliki rumah pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:03 AM