AZIB Azfar meluahkan rasa syukur tidak kehilangan motosikal selepas tertinggal kunci apabila dibantu rakannya yang turut meninggalkan sekeping nota.
AZIB Azfar meluahkan rasa syukur tidak kehilangan motosikal selepas tertinggal kunci apabila dibantu rakannya yang turut meninggalkan sekeping nota.
Redzuan Muharam


“SAYA bersyukur kerana rakan sendiri yang menemuinya. Jika tidak, tentunya motosikal Ysuku (Yamaha Y15ZR) saya sudah hilang dibawa lari,” kata Azib Azfar Azman.

Azib, 19, adalah penuntut semester dua Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang memberi reaksi itu sebagai maklum balas terhadap ciapan dimuat naiknya di Twitter, pagi semalam.

Menerusi ciapan itu, Azib meluahkan rasa syukur dan memuat naik gambar sekeping nota ditinggalkan seorang individu dalam raga motosikalnya.

Nota itu ditulis: “Bro, kau tinggal kunci kat motor. Aku selit kunci kau kat helmet NS88 merah. Pape roger. Nasib baik aku baik.”

Menceritakan perkara sebenar, Azib berkata, kejadian berlaku pagi kelmarin dan dia tidak menyedari kunci motosikalnya tertinggal kerana menyangka sudah menyimpannya di dalam beg.

“Saya meletak motosikal di tempat biasa sebelum berlalu untuk masuk ke kelas tanpa mencabut kunci.

“Namun, saya tidak sedar mengenai perkara itu sehingga gagal menemuinya di dalam beg selepas tamat kuliah.

“Saya jadi gelabah hingga terus berlari ke kawasan parkir bagi melihat sama ada motosikal masih ada atau sebaliknya.

“Setibanya di parkir, saya lihat motosikal masih berada di tempat asal bersama sekeping nota ditinggalkan di dalam raga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azib berkata, mulanya, dia tidak tahu siapa individu terbabit kerana tiada nama atau nombor telefon disertakan di dalam nota ditinggalkan di dalam raga motosikalnya.

“Bagaimanapun, identiti individu berkenaan sudah dikenal pasti hari ini selepas saya memuat naik kisah itu di ruangan Instagram Story.

“Rupa-rupanya, dia adalah rakan saya, Ahmad Irfan Azman ketika tinggal di asrama dulu.

“Cuma, dia tidak tahu motosikal itu kepunyaan saya dan hanya membantu kerana kebetulan berada di kawasan parkir berkenaan.

“Saya terhutang budi dengannya dan kejadian ini memberi pengajaran kepada saya supaya tidak lagi cuai pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 8:33 PM