GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiga daripada 10 anak muda Malaysia pernah menjadi mangsa buli secara dalam talian yang menjejaskan pelajaran dan kehidupan sosial mereka dengan majoriti mengalaminya menerusi applikasi pesanan peribadi.

Menurut kajian terbaharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Keganasan Terhadap Kanak-Kanak di 30 negara, seorang daripada lima anak muda dilaporkan ponteng sekolah berpunca buli siber dan keganasan.

Meluahkan perkara itu tanpa menyebut nama menerusi alat penglibatan belia U-Report, hampir tiga suku daripada anak muda yang terlibat dalam kajian itu berkata rangkaian media sosial termasuk Facebook, Instagram, Snapchap dan Twitter merupakan saluran yang paling banyak berlaku buli dalam talian.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore berkata perbuatan buli tidak hanya berlaku di sekolah tetapi perbuatan itu juga berlaku menerusi alam siber.

Di Malaysia, daripada 5,000 orang yang menyertai kajian itu hanya hanya 457 orang (sembilan peratus) mengaku pernah menggunakan teknologi platform digital untuk menganggu atau membuli orang lain.

Data juga menunjukkan 63 peratus koresponden Malaysia tidak menyedari terdapat khidmat bantuan dalam talian bagi mengsa buli siber di negara bagi mereka berkenaan mendapatkan bantuan.

Sehubungan itu Wakil Khas Setiausaha Agung PBB tentang Keganasan Terhadap Kanak-Kanak Najat Maalla Mjid menyeru semua pihak bekerjasama bagi menangani masalah ini.

Bagi mereka yang mengalami buli dalam talian boleh hubungi CyberSecurity Malaysia, Cyber999 atau SMS ke 15888 menggunakan format berikut: CYBER999 REPORT serta hubungi 1-300-88-2999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:30 AM