GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM50 juta berikutan ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan laporan audit dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ mendapati ketirisan itu direkodkan bagi tempoh Januari sehingga Ogos lalu.

“Susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu ini daripada berterusan.

“Berdasarkan kepada rekod JPJ juga mendapati lebih 50 peratus urusniaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi adalah membabitkan kenderaan yang didaftarkan dan digunakan di luar kawasan wilayah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, urusniaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ dan rakan niaga yang lain.

“JPJ memandang serius perkara (ketirisan) ini serta berusaha untuk memantapkan integriti penyampaian perkhidmatan khususnya bagi aktiviti kutipan hasil demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, sumber mendedahkan terdapat sindiket yang menjadi orang tengah dalam urusan memperbaharui cukai jalan Semenanjung menggunakan kadar cukai jalan Labuan yang bayarannya jauh lebih murah.

Katanya, sebagai contoh kadar bayaran cukai jalan sebenar adalah RM54,502 untuk kereta mewah jenama Rolls-Royce namun sindiket menawarkan RM6,000 jika memperbaharui cukai jalan itu di Pulau Labuan.

Menurutnya, tawaran ini dianggap cukup menarik menjadikan golongan yang memiliki kereta mewah dan mahal menggunakan khidmat sindiket terbabit setiap kali mahu memperbaharui cukai jalan kereta masing-masing.

Malah, katanya, tawaran itu juga termasuk kereta sederhana mewah seperti Range Rover, Ford Mustang, Nissan Skyline dan Toyota Vellfire.

“Tindakan sindiket ini menyebabkan negara kehilangan hasil kutipan cukai berjumlah puluhan juta ringgit setiap tahun,” katanya.

Skuad Khas Harian Metro difahamkan, sindiket yang sudah menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak tiga tahun lalu itu mempunyai pelanggan tetap terdiri dalam kalangan pemilik kenderaan mewah membabitkan golongan kenamaan (VIP) selain selebriti.

Sumber mendedahkan, purata satu daripada 10 kenderaan mewah di seluruh negara kini dikesan menggunakan cukai jalan underwater ini kerana perbezaan harga yang ketara.

Untuk rekod, cukai jalan di Pulau Labuan, Langkawi, Sabah atau Sarawak ini hanya dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang berdaftar atau berada di kawasan berkenaan saja.

Namun, dengan kelicikan ahli sindiket, mereka mampu menyediakan cukai jalan berkenaan kepada kenderaan mewah yang berada atau digunakan di Semenanjung.

Memperincikan perkara berkenaan, sumber berkata, terdapat lebih 27 juta kenderaan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga Mei 2019 di seluruh negara.

“Perbuatan berleluasa sindiket terbabit yang menawarkan cukai jalan murah merugikan negara hingga puluhan juta ringgit setahun. Ini kiraan kasar, sebenarnya jumlah kerugian (negara) akibat ketirisan itu lebih besar,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh, bagi kereta jenis Rolls-Royce cukai jalan bagi Labuan (pulau bebas cukai) adalah berharga RM5,800 berbanding harga (cukai jalan) Semenanjung iaitu RM54,500.

“Ini saja setahun negara rugi RM49,000. Cuba kamu bayangkan berapa banyak kenderaan mewah berada di Malaysia. Kalau 10 peratus pun dah banyak negara rugi.

“Selain kenderaan mewah, pemilik kenderaan pacuan empat roda juga dikesan mula menggunakan cukai jalan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber berkata, sindiket memiliki rangkaian di semua lokasi berkenaan.

“Mereka akan mengarahkan pembayaran cukai jalan baharu dilakukan di sana. Terutamanya di pejabat pos. Selepas semuanya siap, cukai jalan itu akan dipos kembali kepada pemilik,” katanya.

Ditanya wartawan sama ada pemilik kenderaan mewah terbabit menyedari perkara itu, sumber berkata, majoriti mengetahuinya.

“Namun disebabkan nak jimat, mereka tidak peduli biarpun tahu sedang melanggar undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 6:00 AM