FOTO hiasan
FOTO hiasan
Faliq Lajim


RESPONDEN pelayar maya majoritinya setuju bahawa 60 tahun adalah umur bersara mandatori yang sesuai bagi rakyat Malaysia.

Keputusan itu diperoleh melalui hasil tinjauan pendapat dalam talian Facebook dan Twitter Harian Metro (HM) setakat jam 6 petang semalam.

Tinjauan pendapat menerusi akaun Facebook HM, seramai 27,000 responden (92 peratus) bersetuju dengan cadangan umur 60 tahun itu.

Selebihnya, 2,600 responden (lapan peratus) bersetuju umur 65 tahun adalah usia bersara mandatori yang sesuai.

Keputusan sama dilihat menerusi akaun Twitter HM di mana sebanyak 90 peratus daripada 5,336 responden turut bersetuju dengan umur 60 tahun itu.

Manakala, 10 peratus daripada jumlah responden itu bersetuju pada umur 65 tahun.

Undian berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi berdasarkan maklum balas yang ditinggalkan di ruangan komen.

Darishah Daud berkata, umur 55 tahun adalah umur yang lebih sesuai untuk seseorang itu bersara secara mandatori.

“Selepas itu terpulang sekiranya individu itu mahu sambung atau tidak. Dari kecil seawal tiga tahun sudah mula bersekolah, selepas itu terus berkerja.

“Jadi perlu berehat pada usia 55 tahun. Kalau ramai yang sudah tua masih bekerja bagaimana orang muda mahu dapat peluang pekerjaan,” katanya.

Akmal Syahid pula berkata, cadangan bersara mandatori pada umur 65 tahun itu adalah satu perkara yang mengarut.

“Orang atasan tidak mengapalah sampai 65 tahun. Tidak pencen pun tidak mengapa. Sebenarnya, umur 60 tahun sudah pun terlalu tua untuk bekerja bagi orang gred bawahan.

“Seeloknya pencen pada usia 55 tahun dan sekiranya umur 50 tahun lagi bagus. Buka peluang pada generasi muda pula untuk berkhidmat pada negara Saya pun nak kerja juga,” katanya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Beliau turut dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan berkenaan perkara itu termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:45 AM