WAN Hilmy bersama Safiey.
WAN Hilmy bersama Safiey.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya harap Safiey terus istiqamah dan bangkit kembali buat kali kedua serta buat keputusan nekad untuk berubah demi Allah SWT, Rasul dan ibu bapa.

Demikian kata-kata semangat pendakwah bebas, Wan Hilmy Wan Mohamed atau lebih dikenali sebagai Maulana Helmy, individu bertanggungjawab membawa penghijrahan usahawan kosmetik, Mohd Saifuddin Ilias, 25, kembali kepada fitrah sebagai lelaki sebelum ini.

Wan Hilmy berkata, bagaimanapun penghijrahan kali kedua adalah atas faktor keinginan Safiey sendiri yang mahu berubah ke arah kebaikan.

“Masyarakat kena sama mendoakan yang baik-baik terutama netizen dalam media sosial perlu komen perkara positif kerana untuk berubah bukan mudah.

“Safiey ini public figure yang kerap menjadi perhatian masyarakat, apa saja mengenai dirinya akan dimuat naik dalam media sosial, masyarakat kita pula tiada minda dakwah dan kurang bagi sokongan serta semangat,” katanya kepada Harian Metro.

Akuinya, penghijrahan pertama Safiey sebelum ini yang tidak kekal turut berpunca akibat dia tidak tahan menerima kecaman netizen.

“Semua perkembangan diri dikongsi dalam media sosial, malah ada orang kata dia gunakan penghijrahan berkenaan untuk lariskan perniagaan dan tunggang agama.

“Kami tidak pernah menghakimi dia sebegitu dan tidak akan menjauhkan diri sama sekali namun kali ini saya harap dia betul-betul istiqamah,” katanya.

Katanya, Safiey diberi Allah banyak kelebihan terutama kecantikan dan kekayaan, jadi dia kena terus istiqamah.

“Dua minggu lalu dia ada mesej saya untuk kembali berubah dan kelmarin (Sabtu), kami berjumpa di Lata Iskandar, Cameron Highlands.

“Saya mengetahui mengenai penghijrahan kali kedua ini daripada rakan yang memberitahu Safiey mula berubah, rambut sudah pendek dan tidak pakai pakaian wanita lagi,” katanya.

Ditanya adakah Safiey perlu menjauhi media sosial buat masa ini, Wan Hilmy berkata, Safiey tidak perlu berbuat demikian namun hanya perlu menjaga solat dan Allah akan membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:00 AM