Faliq Lajim


KOLEKSI naskhah lama majalah lawak tempatan milik Salehuddin Nor Azman, 36, hilang sekelip mata selepas dihanyutkan banjir yang melanda Temerloh, Pahang pada 2014.

Salehuddin yang juga ejen hartanah bagaimanapun bangkit daripada kesedihan dengan berusaha mengumpulnya semula.

Kini, hasil usaha yang tidak mengenal jemu, Salehuddin dikatakan satu-satunya pengumpul yang memiliki set majalah Ujang lengkap daripada keluaran pertama hingga akhir (edisi 505) bermula pada Januari 1994 sehingga Ogos 2015.

Salehuddin berkata, dia menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli serta melengkapkan semula semua judul naskhah yang hanyut membabitkan majalah Ujang, Apo, Varia Lawak dan Lanun.

“Semua naskhah ini amat bermakna kerana nilai sentimentalnya. Saya membesar dengan majalah ini yang dipenuhi lawak sinis dihasilkan kartunis terkenal tanah air.

“Memang mencabar mahu lengkapkan semua edisi majalah ini daripada keluaran pertama hingga akhir.

“Saya sanggup mencarinya termasuk di kedai menjual buku terpakai di seluruh negara,” katanya.

Salehuddin menunjukkan  lukisan pelukis majalah lawak tempatan yang disimpannya.
Salehuddin menunjukkan lukisan pelukis majalah lawak tempatan yang disimpannya.


Menurut Salehuddin, sebahagian besar majalah berkenaan dibeli melalui laman sosial Facebook seperti di laman Lock Comic serta Jual Beli Bida Komik.

“Naskhah paling mahal saya beli ialah majalah Ujang keluaran pertama yang berharga RM1,000.

“Saya sanggup belanjakan sejumlah wang demi minat,” katanya yang meminati karya kartunis Gayour, Lambok, Sukun, Bawang, Duku dan Aie.

Selain Ujang, Salehuddin turut memiliki set lengkap majalah Apo serta Varia Lawak (dikenali sebagai Lanun untuk edisi ke-8 dan seterusnya).

Malah, kebanyakan majalah itu ditandatangani kartunis yang menghasilkan karya berkenaan dan ia membuatkan majalah terbabit lebih bernilai.

“Ada pengumpul menawarkan sejumlah besar wang bagi membeli koleksi lengkap ini.

“Namun saya belum sedia menjualnya. Saya sayang semua koleksi ini. Jika ada wang lebih, saya mahu membina perpustakaan bagi menempatkan semua naskhah serta koleksi lukisan karya kartunis tanah air,” katanya.

Menurut Salehuddin, semua koleksi itu dibalut dengan plastik bagi memastikan ia tidak melekat antara satu sama lain.


Pada masa sama, Sallehudian turut meluahkan rasa gembira apabila dikhabarkan majalah Ujang dan Apo mungkin dikeluarkan setiap tiga bulan sekiranya mendapat permintaan.

“Memang ada karya sebegini boleh dibaca di laman web dan sebagainya namun bagi peminat veteran seperti saya, kami merindui karya nostalgia ini dalam bentuk buku,” katanya.

Selain komik, Salehuddin turut mengumpul hasil lukisan kartunis tanah air.

“Setiap program membabitkan kartunis, saya cari dan minta mereka lukis karya masing-masing sebelum saya bingkaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:20 AM