Wan Muhammad Izmin (duduk tengah) menulis secara terbalik sambil diperhatikan Siti Shahrina (kanan), Sunita Naraindas (kiri) serta rakannya. FOTO Hafiz Sohaimi
Wan Muhammad Izmin (duduk tengah) menulis secara terbalik sambil diperhatikan Siti Shahrina (kanan), Sunita Naraindas (kiri) serta rakannya. FOTO Hafiz Sohaimi
Redzuan Muharam


“SAYA anggap ini anugerah daripada Allah SWT dan akan menggunakan kelebihan yang ada sebaik mungkin,” kata Wan Muhammad Izmin Wan Mhd Noor, 17.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memiliki kelebihan yang jarang ditemui iaitu menulis dan membaca tulisan dalam keadaan terbalik.

Menceritakan keistimewaannya itu, Wan Muhammad Izmin berkata, dia mula mengasah kemahiran menulis dan membaca dalam keadaan terbalik ketika berusia 15 tahun.

Katanya, minat itu timbul selepas dia tertarik dengan gaya penulisan pelukis terkenal dunia, Leonardo da Vinci dalam sebuah buku.

“Saya tak tahu adanya individu mempunyai kemahiran itu sehingga menemui buku berkaitan Leornado da Vinci di pusat sumber sekolah.

“Ketika itu, saya teruja dan berfikir bagaimana beliau boleh melakukannya.

“Bertitik tolak dari situ, saya cuba lakukan sendiri dan pada mulanya, ia tidak menjadi seperti diharapkan tetapi saya tak putus asa dan terus berlatih sebelum dapat menguasainya dalam tempoh dua bulan,” katanya ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Abdullah, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, keluarga tidak tahu mengenai kelebihan dimilikinya itu sehingga videonya menulis dalam keadaan terbalik tular di laman sosial.

Katanya, bukan tidak mahu berkongsi tetapi dia menganggap kemahiran itu bukan sesuatu yang luar biasa.

“Bukan selalu saya menulis dengan cara sebegitu, waktu tertentu saja dan akan cuba mengarang ayat sendiri untuk membiasakan diri supaya tidak kekok.

“Ikutkan tiada siapa tahu termasuk keluarga, guru mahupun rakan sekelas sehingga saya menunjukkan kemahiran itu ketika melakukan satu tugasan menulis karangan di atas kertas mahjong.

“Tak sangka pula, cikgu merakam video saya menulis ketika itu dan memuat naik di laman sosial miliknya hingga tular. “Apa pun, terima kasih kepada semua yang memberi kata semangat,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka hiasan dalaman.

Wan Muhammad Izmin menunjukkan tulisannya dalam keadaan terbalik. FOTO Hafiz Sohaimi
Wan Muhammad Izmin menunjukkan tulisannya dalam keadaan terbalik. FOTO Hafiz Sohaimi

Sementara itu, guru sekolah terbabit Siti Sharina Abdul Aziz berkata, dia baru mengetahui kemahiran Wan Muhammad Izmin ketika dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu baru-baru ini.

“Saya mengajarnya sejak di tingkatan tiga tetapi tidak tahu dia memiliki kemahiran menulis dan membaca dalam keadaan terbalik.

“Sebagai guru, saya kagum dengan bakat luar biasa dimilikinya dan disebabkan itu, saya berkongsi video berkenaan di laman sosial.

“Terkejut juga apabila video itu tular dan mendapat lebih 6,000 tontonan setakat ini.

“Diharap, perkongsian itu dapat membuka mata ramai pihak dan memberi Izmin (Wan Muhamad Izmin) motivasi untuk memanfaatkan kelebihannya kerana bukan dikurniakan bakat sebegitu rupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:05 PM