MOHD Syaiful Azlan menggunakan replika pensil untuk menarik minat serta perhatian murid ketika di dalam kelas di SK Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Syaiful Azlan Abu Yazid.
MOHD Syaiful Azlan menggunakan replika pensil untuk menarik minat serta perhatian murid ketika di dalam kelas di SK Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Syaiful Azlan Abu Yazid.
Redzuan Muharam


“ITU gambar sebenar, bukan disunting dengan teknik ‘Photoshop’ atau aplikasi lain. Saya gunakannya (replika pensil) sewaktu mengajar dengan niat untuk menarik minat serta perhatian murid ketika di dalam kelas,” kata Mohd Syaiful Azlan Abu Yazid.

Mohd Syaiful Azlan, 35, adalah guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu, Sabah.

Baru-baru ini, gambarnya memegang replika pensil bersaiz besar sambil duduk mengajar murid tular di laman sosial .

Mohd Syaiful Azlan yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai guru berkata, gambar berkenaan diambil dengan bantuan murid pada 10 Julai lalu sebelum dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada hari berikutnya.

Gambar itu mendapat hampir 550 tanda suka dan dikongsi lebih 350 pengikutnya serta mendapat perhatian warga pendidik selepas ditularkan di kumpulan Kami Guru Malaysia.

Mohd Syaiful Azlan yang juga bapa kepada dua anak berkata, dia tidak sangka gambar berkenaan menjadi tular kerana sekadar berkongsi pendekatan digunakan untuk mengajar murid.

Beliau berkata, replika pensil itu dibawa ke kelas untuk memberi kelainan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), bukannya digunakan bagi menghukum murid yang melakukan kesalahan.

“Sebenarnya, replika itu adalah salah satu prop keceriaan di sekolah yang saya ambil di bawah tangga sebelum masuk ke kelas.

“Ketika itu, timbul idea untuk menggunakannya sewaktu sesi tasmik (pembacaan secara individu) Iqra’ di dalam kelas.

“Sebaik melihat saya membawa replika pensil itu ke kelas, murid jadi teruja dan ada yang takut mungkin kerana saiznya besar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Syaiful Azlan berkata, banyak maklum balas diterimanya sejak gambar dikongsikannya itu tular di laman sosial.

Katanya, kebanyakan warganet memberi komen positif dan menganggap idea itu (menggunakan replika pensil) bagus dalam mendidik murid.

“Tapi ada meluahkan rasa bimbang dan mengatakan replika pensil berkenaan boleh membahayakan murid, namun ia sekadar alat bantuan P&P saja, tidak lebih dari itu.

“Lagipun, itu kali pertama saya membawanya ke kelas, namun tidak menolak kemungkinan untuk menggunakannya dalam sesi P&P pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 10:30 PM