Fizo Omar masih menyayangi dan mengasihi Mawar. FOTO Syarafiq Abd Samad
Fizo Omar masih menyayangi dan mengasihi Mawar. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sarah Zulkifli


SELEPAS enam tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Fizo Omar reda jodohnya dengan usahawan tudung terkenal, Mawar Abd Karim berakhir hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, berkata, perceraian secara baik itu dibuat bersama kerana dirinya dan Mawar, 30, sudah tiada keserasian sebagai pasangan suami isteri selain tiada persefahaman lagi.

“Cukup untuk saya katakan jodoh saya dan Mawar berakhir di sini.

“Pada saya, ini bukan pengakhiran tetapi satu permulaan kami menjadi ibu bapa bersama dalam menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak kami, Wan Maryam,” katanya selepas selesai prosiding lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Fizo melafazkan cerai terhadap Mawar pada 10.55 pagi di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.

Menurut Fizo, dia masih menyayangi dan mengasihi Mawar kerana wanita itu adalah isteri dan ibu yang baik kepada anak mereka, Wan Maryam yang berusia dua tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Mawar malah banyak terhutang budi padanya.. dia sangat baik.

“Kami berdua juga akan kekal berkawan baik demi Maryam,” katanya.

Ketika disoal mengenai hak penjagaan Wan Maryam, Fizo berkata, dia tidak merancang merebut hak penjagaan itu.

“Hak penjagaan anak saya serahkan kepada Mawar.

“Saya tidak akan pisahkan mereka,” katanya.

Seperti Mawar, Fizo juga menyatakan dirinya bersedia untuk menjadi pasangan ibu bapa yang terbaik untuk anak mereka.

Terdahulu, dalam prosiding lafaz cerai itu, Fizo dilihat sebak ketika memohon maaf kepada Mawar dan ibu bapa Mawar yang turut hadir dalam prosiding itu.

Media sebelum ini melaporkan Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan desas-desus berhubung kemelut rumah tangga apabila isterinya dilaporkan sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara itu.

Pasangan itu diijabkabulkan pada November 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

Terdahulu, Fizo tiba di mahkamah 10 pagi dengan senyuman dan terus ke bilik mahkamah bagi prosiding lafaz cerai itu.

Berita berkaitan

'Ini pengorbanan terbesar saya' - Mawar

Fizo, Mawar sah bercerai [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 3:11 PM