PELAJAR SMK Tun Fuad Stephens Kiulu yang bertanding di Pertandingan Tarian Peringkat Antarabangsa di Braga, Portugal. FOTO ihsan guru SMK Tun Fuad Stephens Kiulu
PELAJAR SMK Tun Fuad Stephens Kiulu yang bertanding di Pertandingan Tarian Peringkat Antarabangsa di Braga, Portugal. FOTO ihsan guru SMK Tun Fuad Stephens Kiulu
Recqueal Raimi

TIGA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu, merangkul pingat emas apabila menjuarai pertandingan Tarian Peringkat Antarabangsa di Braga, Portugal.

Difahamkan, acara itu bermula 28 Jun lalu sehingga semalam dan kumpulan pelajar terbabit mewakili Malaysia dalam kategori Junior Duet (bawah 25 tahun) iaitu ‘Trio National and Folklore.’

Guru pengiring, Liza Joseph berkata, acara itu disertai pelajar berusia 15 tahun dan mereka menjalani latihan selama lapan bulan di bawah jurulatih, Achai Pratama.

Katanya, antara pelajar terbabit ialah Phoebe Faith Munsin dan Dave Wackl Jolly berasal dari Kampung Kionson Lama, Tamparuli serta seorang lagi, Carrie Ann Jolison yang berasal Kampung Malangang Baru, Kiulu.

“Konsep tarian yang dipersembahkan adalah ‘Gambut Parang’ iaitu tarian etnik Dusun Sungai di Kinabatangan, yang kebiasaannya diraikan sempena menyambut kesyukuran hasil tanaman padi.

“Melalui kejohanan tarian kreatif itu, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman budaya baharu selain memupuk minat untuk mengukuh potensi dan kreativiti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kemenangan itu juga sekali gus mengharumkan nama negara dan sekolah pelajar terbabit apabila membawa salah satu identiti suku kaum yang ada di negara ini.

“Semoga usaha, kreativiti dan kerjasama antara kumpulan pelajar itu dapat dicontohi pelajar lain melalui pendidikan secara holistik,” katanya.

Liza berkata, rombongan peserta itu akan kembali esok dan dijangka tiba di Kota Kinabalu pada 9 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 3:14 PM