JIHAN Muse.
JIHAN Muse.
Syanty Octavia Amry


TERUS istiqamah dalam menjalani kehidupan dengan penampilan bertudung, pengacara, pelawak dan pelakon popular, Jihan Muse tidak mahu melakukan perubahan drastrik semata-mata memenuhi kehendak orang lain.

Bagi Jihan, 36, biar bagaimana pun penampilannya, dia mahu terus menjadi diri sendiri seperti orang mengenalinya sejak dulu.

Tiada apa yang berubah melainkan hanya penampilan yang kini lebih sopan dalam berpakaian.

Menurut Jihan, setiap orang mahu menjadi lebih baik. Perubahan dirinya biarlah datang dari hati dan bukan kerana desakan sesiapa.

“Apabila sudah bertudung, saya pasti sesiapa saja mahu perubahan itu ke arah lebih baik. Sebagai manusia kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang.

“Saya tidak mahu terlalu beria-ia bertudung hingga bertutup litup tiba-tiba satu hari pakai tudung bawal atau selendang. Sekurang-kurangnya saya sudah berada di satu tahap ke hadapan dan sedang berusaha memperbaiki diri untuk jadi lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran memberikan ceramah berkongsi penghijrahan dirinya, Jihan berkata, dia belum layak menasihati orang lain walaupun diberikan tawaran seperti itu.

“Saya masih dalam proses berubah dan sedang belajar. Memang ada yang menawarkan untuk memberi ceramah tetapi saya belum bersedia.

“Dipanggil untuk mengacarakan program berbentuk keagamaan boleh diterima, tetapi untuk memberi ceramah kepada orang lain saya belum layak kerana masih banyak yang perlu dipelajari.

“Tidak mahu nanti apabila terlalu teruja berkongsi, saya tidak sedar bahawa apa yang dikongsi itu tidak sahih kebenarannya,” katanya.

Dalam pada itu, Jihan menolak pandangan segelintir masyarakat yang beranggapan rezeki akan berkurangan apabila bertudung.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia bersyukur apabila rezekinya semakin murah.

Baginya, rezeki tidak hanya murah dalam pekerjaan, tetapi juga kebahagiaan dan kehidupan.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lakukan sekarang. Dulu saya juga terfikir jika bertudung rezeki tiada, tetapi sebaliknya. Bagi saya rezeki itu datang dalam pelbagai cara.

“Saya bersyukur diberikan rezeki dalam rumah tangga, kebahagiaan dan rasa hidup sekarang lebih tenang tidak perlu serabut.

“Malah sekarang hendak bersiap juga lebih cepat jika dulu saya perlu mengambil masa untuk menyiapkan rambut,” katanya.

JIHAN Muse bersama keluarga bahagia.
JIHAN Muse bersama keluarga bahagia.

>b/b

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Jihan terbabit menjayakan drama 10 episod bertajuk Keluarga Baha Don untuk tayangan online Viu bermula 11 Julai ini.

Memegang watak Kesuma, seorang gadis kampung yang bercinta dengan anak lelaki keluarga mafia yang kaya, Jihan pada awal teruja apabila mendapat tahu drama itu turut membabitkan pelakon hebat seperti Nam Ron, Sabri Yunus dan Khir Rahman.

“Sejak ditawarkan berlakon dalam drama ini saya sudah teruja mendengar nama hebat, tetapi sedikit kecewa rupanya babak saya bersama mereka tidak ada.

“Watak saya hanya banyak dengan Remy Ishak dan pelakon tambahan. Namun, saya gembira kerana berlakon di bawah arahan Khai Fariz. Dia membawa watak komedi ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Berlakon dengan Khai saya tahu apa yang dia mahukan malah cerita lawaknya begitu urban,” katanya.

Selain itu, Jihan juga teruja apabila pertama kali diberi tanggungjawab menjadi pengkritik untuk program realiti Raja Lawak Junior.

“Saya teruja kerana selama ini selalu diberi tanggungjawab mengacara saja. Apabila perlu mengkritik peserta yang semuanya kanak-kanak bimbang juga.

“Bagi saya ia kerja yang susah dan mencabar jika tersalah kritik ada yang menangis pula nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 5:00 AM