KEADAAN bas berkenaan. Gambar kecil (Wan Mohammed Adam). FOTO NOR AMALINA ALIAS.
KEADAAN bas berkenaan. Gambar kecil (Wan Mohammed Adam). FOTO NOR AMALINA ALIAS.
Muhamaad Razis Ismai


AHLI keluarga Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, yang maut dalam kemalangan selepas terjatuh dari bas di Kandis, Bukit Yong, dekat Pasir Puteh berharap siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian itu.

Mereka berharap semua pihak berkaitan termasuk penganjur, pihak sekolah dan pengusaha bas disiasat untuk mengenal pasti punca kejadian.

Malah, mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut sekiranya berlaku kecuaian sehingga mengakibatkan Wan Mohammed Adam maut.

Dalam kejadian 11.50 pagi semalam, murid Tahun Enam itu maut di tempat kejadian akibat parah selepas dipercayai terjatuh dari bas berikutan lantai kenderaan reput.

Ibu mangsa Nik Hasmani Mohamad, 44, ketika ditemui, meminta siasatan dijalankan terhadap semua pihak yang terbabit dengan penganjuran program itu.

“Siasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku, apa masalah bas itu, tiada ke orang dewasa dalam bas ketika kejadian untuk pantau murid dalam bas.

“Saya difahamkan tiada guru di dalam bas ketika kejadian,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka di Machang ,selepas jenazah selamat dikebumikan malam tadi.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan ketika jenazah dikebumikan apabila Nik Hasmani bersama tiga anak perempuannya dilihat menangis teresak-esak.

Menurutnya, sehingga kini dia masih ingat antara pesanan terakhir kepada Adam supaya memperoleh keputusan cemerlang dalam percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan.

“Minggu depan nak ‘trial’ saya pesan kalau boleh dapat 3A atau 4A. Dia diam kemudian dia belajar sebelum bermain-main.

“Dia anak yang manja kalau baring atau tidur dekat-dekat mesti kepalanya atas riba saya,” katanya.

Bagi kakak sulung arwah, Wan Nur Fazleen Amirah, 22, mereka tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan.

“Kena ambil tindakan kepada penganjur dan syarikat bas (sekiranya cuai), pihak mereka tidak ambil tahu bas apa yang ditempah. Pihak polis juga perlu siasat sama ada bas itu mempunyai permit sah atau tidak.

“Tindakan saman juga perlu sebab bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Murid Tahun Enam terjatuh dipercayai terjatuh dari bas sekolah sebelum digilis tayar kenderaan itu di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik, dekat Kandis, Bukit Yong, Pasir Puteh, jam 11.50 pagi semalam.

Bas sekolah yang dinaiki 31 murid Tahun Enam itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang ke Besut, Terengganu dan sebaik sampai di Kandis, Bukit Yong, dekat Pasir Puteh, kanak-kanak itu terjatuh ke atas jalan.

Berita berkaitan

Adam, bersemadi lah dengan tenang..

Pilu kehilangan anak lelaki tunggal

[UPDATE] Mangsa dipercayai bermain dalam bas

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 8:56 AM