MURID lelaki maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak akibat dipercayai terpijak lantai kenderaan itu yang reput. FOTO Ihsan Pembaca
MURID lelaki maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak akibat dipercayai terpijak lantai kenderaan itu yang reput. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Amalina Alias


SEORANG murid lelaki maut selepas terjatuh dari bas sedang bergerak akibat dipercayai terpijak lantai kenderaan itu yang reput dalam kejadian di Kampung Kandis, Pasir Puteh, tengah hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan.

Mayat murid tahun enam itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Difahamkan mangsa bersama rombongan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sumber yang enggan dikenali berkata rombongan itu mengikuti bengkel selama dua hari dan bertolak ke sana dengan menyewa bas.

Katanya, mangsa dipercayai berdiri bersama beberapa rakan di bahagian hadapan bas berhampiran tangga bas.

“Saya tidak berada di dalam bas ketika kejadian dan hanya dimaklumkan kejadian berlaku kerana tangga bas reput.

“Murid lain beritahu ada kawasan yang berlubang di bahagian hadapan bas yang mereka pijak namun tidak pasti ditutup dengan apa,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa kini berada di Hospital Tengku Anis, di sini untuk bedah siasat sementara ahli keluarga turut berada di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 5:13 PM