NUR SURIATI Dakta memangku Batrisyia. FOTO Rozainah Zakaria
NUR SURIATI Dakta memangku Batrisyia. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar


“KAMI tidak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan dialami setiap kali dia menjalani pembedahan memasuk dan membuang tiup bagi membuang lebihan cecair dalam kepala,” kata Nur Suriati Dakta, 39, ibu kepada Tuan Nur Batrisya Tuan Nasir, lima tahun, yang mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar.

Nur Suriati berkata, doktor sudah mengesahkan penyakit dialami Batrisya sukar untuk sembuh dan kembali normal seperti kanak-kanak lain kerana kepalanya semakin membesar selepas lebih tujuh kali melakukan pembedahan.

“Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan sentiasa berdoa agar Batrisya sihat serta bebas dari masalah kesihatan lain,” katanya ketika disantuni jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di kediamannya di Kampung Duyong Besar, Kuala Nerus, hari ini.

Yang turut hadir adalah Presiden KAWAT, Wan Abdul Rahman Hayat.

Nur Suriati berkata, walaupun ada beberapa pihak termasuk individu bersedia untuk membiayai kos rawatan termasuk menjalani pembedahan di luar negara, tetapi dia dan suami, Tuan Nasir Tuan Dalam, 35, yang berkerja sebagai pekerja am di sebuah hotel bersepakat menolak tawaran itu kerana tidak sanggup melihat kesakitan bakal dialami Batrisya ketika menjalani pembedahan.

Katanya, Batrisya yang juga anak bongsunya daripada dua beradik itut dikesan mengalami masalah Hydrosephalus atau kepala besar sejak kandungan berusia tujuh bulan dan bukannya selepas dilahirkan seperti didakwa beberapa pihak.

“Kami terpaksa membawa Batrisyia untuk menjalani rawatan homeopati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap bulan,” katanya.

Ketika mengulas perasaannya apabila pertama kali diberitahu doktor bayi yang dikandungnya mengalami masalah Hydrosephalus dan kepala besar, Nur Suriati berkata, tiada perkataan mampu digambarkan melainkan sedih, tetapi dia terpaksa kuatkan semangat dan reda menerima takdir Allah SWT.

Katanya, selepas beberapa hari dilahirkan, Batrisya terpaksa dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya bagi menghalang kepalanya daripada terus membesar.

“Walaupun tidak mampu bercakap dan bergerak seperti kanak-kanak sebaya, tetapi Batrisyiaanak yang baik dan tidak banyak meragam serta mudah dijaga kecuali ketika sakit.

“Tetapi sejak beberapa hari lalu, Batrisya kerap mengalami kekejangan saraf serta kerap berjaga malam selepas pulang daripada menjalani rawatan homeopati di HSNZ,” katanya.

Nur Suriati berkata, dia terpaksa membelanjakan sebanyak RM700 sebulan bagi membiayai susu khas dan kain pakai buang untuk Batrisya.

“Dengan pendapatan suami sebanyak RM1,000 sebulan, kami terpaksa berjimat dan menggunakan wang untuk membeli keperluan harian dan barangan dapur secara ala kadar termasuk perbelanjaan persekolahan kakak Batrisyia, Tuan Nurbalqis, 7, yang belajar di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong.

“Selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga turut menyalurkan bantuan perubatan sebanyak RM3,000 setahun,” katanya sambil menambah memerlukan kerusi khas bagi memudahkan kerja memandikan Batrisya.

Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri diminta mempertimbangkan kediaman kepada Tuan Nasir, berikutan rumah didiami empat beranak itu adalah rumah pusaka selain tanah milik penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:12 PM