ANAK lembu kecil itu berjaya melarikan diri selepas tongkat petani dibaling ke arah singa itu.
ANAK lembu kecil itu berjaya melarikan diri selepas tongkat petani dibaling ke arah singa itu.
Agensi

New Delhi: Sejak beberapa hari lalu, tular video menunjukkan seorang petani yang begitu berani kerana hanya menggunakan batang kayu bagi mengusir seekor singa yang cuba menyerang ternakannya.

Menurut Daily Mail, rakaman kamera litar tertutup di depan rumah petani itu pada Selasa lalu, menunjukkan ternakan petani terbabit lari bertempiaran pada tengah malam, membuatkan petani dikenali sebagai Vadher, mengesyaki bahaya ke atas ternakannya.

Seekor anak lembu berlari melintasi halaman namun malangnya haiwan itu diterkam seekor singa dan mencengkam leher anak lembu itu.

Sebelum singa itu sempat melarikan mangsanya, Vadher dilihat menjerit bagi menakutkan singa berkenaan menggunakan batang kayu sebelum melontarkan kayu berkenaan ke arah binatang buas itu.

Menakjubkan apabila singa itu ketakutan dan melarikan diri tanpa membawa anak lembu terbabit.

“Pemangsa seperti singa sering menyerang ternakan kami. Ada empat singa di kampung ini dan kami sudah sebati dengan haiwan liar itu. Apa yang saya lakukan pada hari itu adalah tindakan spontan,” kata Vadher.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:57 PM