HANTARAN di FB berhubung kejadian yang tular di media sosial.
HANTARAN di FB berhubung kejadian yang tular di media sosial.
Rosli Ilham


TERGESA-GESA untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas, seorang anak lelaki dan isterinya tertinggal ibu mereka di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Sebelum kejadian, lelaki terbabit yang berusia 40-an dikatakan bersama isteri dan ibunya yang berusia 73 tahun itu menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari Bukit Payong, Kuala Terengganu untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit dikatakan berhenti di R&R Bukit Besi, kira-kira 8 pagi selepas isterinya mengadu hendak ke tandas.

Ketika ke tandas, lelaki itu dan ibunya menunggu di dalam kereta dan dia tertidur seketika di dalam kereta sementara isterinya keluar ke tandas.

Bagaimanapun, ibu lelaki terbabit bertindak keluar dari kereta dan masuk ke tandas sama, tanpa disedari anaknya yang tertidur itu.

Sebaik isterinya masuk ke dalam kereta, mereka meneruskan perjalanan tanpa menyedari ibu mereka tertinggal di R&R terbabit.

Ibunya itu yang selesai ke tandas terkejut apabila mendapati anak dan menantunya itu tiada di parkir terbabit sebelum meminta bantuan orang ramai di situ.

Orang ramai berusaha menghantar warga emas terbabit dengan menaiki bas yang berhenti di R&R terbabit namun semua pemandu bas bimbang untuk mengambilnya.

Selama sejam setengah di situ, dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang secara kebetulan meronda di kawasan R&R terbabit kemudiannya menghantar warga emas terbabit ke Balai Polis Bukit Besi.

Bagaimanapun, anak dan menantu mangsa hanya menyedari ibu mereka tiada di dalam kereta ketika mereka berhenti makan di R&R Gambang iaitu kira-kira 196 kilometer dari R&R Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, warga emas terbabit menceritakan mengenai anak perempuannya yang mengajar di sebuah sekolah di Bukit Payong.

Berpandukan maklumat itu, katanya, pihak polis menghubungi telefon sekolah terbabit untuk mendapatkan nombor telefon anak warga emas itu.

“Polis berjaya memaklumkan berhubung kejadian itu kepada anaknya sebelum seorang cucu warga emas terbabit datang ke Balai Polis Bukit Besi, kira-kira 12.30 tengah hari.

“Warga emas terbabit kemudiannya dibawa pulang semula Ke Bukit Payong, sementara anak lelaki dan menantunya itu berpatah balik untuk mengambil semula ibunya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 11:42 PM