KEGILAANNYA terhadap dunia kartun dan komik membuatkannya sanggup mengumpul naskhah lama majalah lawak tempatan yang pernah atau masih mewarnai dunia majalah kartun tanah air masa kini.
Malah, disebabkan minatnya yang mendalam itu, tidak hairanlah apabila Mohd Redzuwan Mohd Jamail, 33, dari Kangar sanggup berbelanja RM2,000 hanya untuk memiliki senaskhah edisi kedua majalah Gila-Gila yang pernah diterbitkan pada Mei 1978.
Dia yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Hospital Tuanku Fauziah, menyifatkan koleksi yang dimilikinya itu khazanah yang tidak ternilai dalam hidupnya.
“Saya mula mengumpul majalah kartun dan lawak ini sejak berusia tujuh tahun ketika saya belajar di tahun satu dan saya memang berminat dengan majalah lawak.
“Namun biasalah...masa kecil, mana ada duit jadi saya simpan sedikit duit belanja sekolah dan dapat beli majalah lawak yang saya gemari ketika itu iaitu Gila-Gila,” katanya di kediamannya di Taman Bintong Aman.
Ketika kecil, dia memasang impian untuk memiliki koleksi majalah kartun dan lawak ini namun atas kekangan kewangan dia menangguhkan dahulu niatnya itu.
“Namun selepas memasuki alam pekerjaan dan pada 2010, saya menyambung semula impian saya yang tertangguh itu dengan mula mengumpulkan koleksi Gila-Gila. Saya mula menjelajah ke pelbagai pelusuk pasar karat untuk menemui pengumpul atau penjual majalah komik dan lawak yang lama ini.
“Antara lokasi buruan saya adalah pasar karat Ipoh dan Kampung Berjaya di Alor Setar. Pencarian saya itu berjaya menemukan saya dengan seorang penjual yang mempunyai naskhah Gila-Gila edisi kedua keluaran Mei 1978,” katanya.
Hasil tawar-menawar dengan pengumpul naskhah berkenaan, dia berjaya memiliki naskhah berkenaan dengan harga RM2,000.
“Harga majalah seperti Gila-Gila ini lazimnya dijual mengikut keadaan. Jika keadaannya masih baik dan terpelihara, harganya boleh melambung dan mencecah tinggi manakala jika keadaan sebaliknya, harganya mungkin rendah.
“Malah, ada juga saya temui di laman Facebook, penjual atau pengumpul Gila-Gila yang menawarkan harga sehingga RM10,000 bagi edisi sulung majalah itu yang memang susah untuk ditemui kini dan sudah menjadi koleksi rare.
“Namun begitu dengan kecanggihan teknologi, edisi pertama Gila-Gila kini boleh dilayari menerusi aplikasi GG Komiks,” katanya.
Mohd Redzuwan yang sudah pun mendirikan rumah tangga dengan Norhartati Hassan, 33, berkata, isterinya tidak pernah menghalang kegemarannya itu malah sentiasa menyokong hobinya itu.
“Disebabkan kami belum mempunyai cahaya mata, saya jadikan sebuah bilik di rumah sebagai galeri kepada koleksi ini.
“Malah, bagi memastikan koleksi majalah ini berada dalam keadaan baik dan terpelihara. Saya juga sentiasa meletakkan majalah yang dianggap sudah lama dalam plastik pembalut supaya ia tidak dimakan serangga perosak seperti anai-anai,” katanya.
Selain Gila-Gila, dia mempunyai koleksi majalah Ujang, Apo! Batu Api, Humor, Gelihati, Gelagat, Varia Lawak, Buletin Lubuk, Kawan yang mana majalah ini pernah menjadi pilihan pembaca yang ingin menikmati variasi kartun dan lawak tanah air.
“Sehingga kini, saya sudah membelanjakan hampir RM30,000 untuk memiliki hampir 2,500 naskhah majalah humor dan lawak ini. Pada masa sama, saya sudah pun melawat Rumah Komik dan Kartun Malaysia di Kuala Lumpur kerana ia memberi saya inspirasi untuk menghargai khazanah kartunis serta pelukis komik tanah air kita.
“Walaupun saya dilihat lebih banyak mengumpul koleksi majalah ini, tidak bererti saya tidak membacanya. Saya lazimnya memanfaatkan cuti hujung minggu untuk membaca kembali koleksi majalah saya ini,” katanya.
Dia akui akan terus mencari dan mengumpul koleksi majalah seperti ini kerana ia bagaikan harta karun bagi dirinya dan tidak akan sesekali menjualnya demi mengaut keuntungan.