BEKAS Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad. FOTO arkib NSTP
BEKAS Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad. FOTO arkib NSTP
Firdaus Hashim


ISU penipuan cukai dalam kalangan pemain bola sepak Liga Malaysia (Liga M) menerusi kontrak kedua diakui wujud sejak dua dekad lalu dan masih berlarutan hingga kini.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, ‘perlumbaan’ untuk mendapatkan pemain terbaik menyaksikan ada segelintir persatuan negeri (FA) sanggup melindungi hasil pendapatan pemain semata-mata untuk memancing mereka bagi menyertai pasukan.

Jelas Redzuan, berdasarkan pengalaman lalu ketika memimpin badan induk itu, terdapat pelbagai kes berkaitan tuntutan kontrak kedua yang tidak didaftarkan secara sah kepada pentadbir bola sepak tempatan itu.

Katanya, FAM ketika itu menetapkan harga siling sebanyak RM8,000 buat semua pemain dan jumlah berkenaan kebiasaannya diletakkan dalam kontrak pertama bagi mengaburi mata FAM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Dulu ketika saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, banyak kes dilaporkan mengenai tuntutan pemain ke atas kontrak kedua yang tidak diiktiraf oleh FAM.

“Mengikut kefahaman saya, kewujudan kontrak kedua ini disebabkan oleh harga siling RM8,000 yang ditetapkan ketika itu tidak diikuti kebanyakan pasukan hingga sanggup menawarkan gaji lebih tinggi pada kontrak kedua.

“Jadi tuntutan pemain itu kita tak dapat nak layan kerana ia melanggar peraturan FAM. Saya tak terkejut jika sekarang pun masih adanya kontrak kedua kerana itu satu-satunya jalan untuk pemain mengelak membayar cukai yang lebih kepada LHDN,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini secara eksklusif melaporkan, beberapa pasukan liga tempatan khususnya yang beraksi di Liga Super cuba menyembunyikan status gaji pemain apabila hanya mendaftarkan separuh saja daripada hasil pendapatan sebenar kepada LHDN.

Menurut sumber LHDN, kebanyakan pasukan dan pemain berkomplot untuk cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengemukakan satu kontrak gaji sebagai bukti pembayaran individu oleh seseorang pemain.

Namun, selepas semakan dan risikan, terdapat banyak keraguan terutama mengenai gaya hidup pemain yang dilihat begitu mewah hasil daripada pendapatan luaran yang tidak diisytiharkan kepada organisasi kerajaan itu.

Difahamkan, wujud kontrak kedua yang tidak dimaklumkan bagi mengelak membayar cukai, selain ‘duit tepi’ yang diraih sebagai duta produk atau menjalankan perniagaan tanpa mengisytiharkan pendapatan.

“Ini satu kesalahan yang besar di mana pemain dan FA perlu bertanggungjawab. Jangan lari kerana ia tidak adil kepada orang lain yang turut membayar cukai biarpun hanya bergaji kecil,” katanya.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu memperkenalkan semula harga siling dengan mengikut pasaran semasa bagi mengatasi masalah ini.

“Mungkin FAM dan MFL boleh wujudkan balik harga siling, misalnya RM30,000 buat pemain tempatan. Malah, pada masa sama kuatkuasakan peraturan dan undang-undang dengan melarang kontrak kedua kerana itu akan mendatangkan beban tambahan buat pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 6:45 AM