MUHAMAD Nur Eman Al Rahdie maut selepas terbelit kain pengikat langsir di Taman Belimbing, Malau, Jitra, petang semalam. FOTO ihsan polis.
MUHAMAD Nur Eman Al Rahdie maut selepas terbelit kain pengikat langsir di Taman Belimbing, Malau, Jitra, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


KANAK-KANAK lelaki maut dipercayai terbelit kain pengikat langsir pada buaian ketika bermain dengan dua adiknya di tingkat atas rumah mereka di Taman Belimbing, Malau, Jitra semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, Muhamad Nur-Eman Al-Rahdie Noreffendi, 11, dikatakan mengikat kain pengikat langsir pada hujung besi buaian bayi untuk bermain ‘gantung-gantung’ di pintu bilik utama rumah berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terbelit di leher ketika melompat sambil menghenjut badannya pada buaian spring.

Ketika kejadian, ibu dan bapanya yang berusia sekitar 30-an sedang tidur di bilik kedua bersama bayi mereka berusia setahun empat bulan.

Adik perempuan mangsa berusia 10 tahun menyedari mulut abangnya berbuih dalam keadaan terduduk dan tidak sedarkan diri sebelum menjerit memberitahu ibu dan bapanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsau berkata, bapa mangsa kemudian membuka ikatan kain pengikat langsir itu dengan memotong menggunakan pisau dan cuba memberi bantuan pernafasan sebaik melihat mulut anaknya berbuih dan mata terpejam.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, bapa mangsa kemudian meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya ke Hospital Jitra bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga 12 tengah malam tadi, mayat mangsa masih dibedah siasat di Jabatan Forensik HSB.

Usaha untuk menemubual keluarga mangsa setakat ini belum berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 12:44 AM