TENTERA laut Thailand keluar memeriksa ‘kediaman’ dibina Elwartowski. - Daily Mail
TENTERA laut Thailand keluar memeriksa ‘kediaman’ dibina Elwartowski. - Daily Mail
Agensi

BANGKOK: Seorang pelabur bitcoin Amerika boleh berhadapan hukuman mati selepas tentera laut Thailand menuduhnya melanggar kedaulatan negara itu dengan membina sebuah rumah di luar pesisiran pantai dalam usaha membina ‘negara mikro.’

AFP melaporkan, Chad Elwartowski dan teman wanita Thailandnya, Supranee Thepdet yang dikenali sebagai ‘Bitcoin Girl Thailand,’ berdepan tuduhan mengancam kemerdekaan kerajaan selepas pihak berkuasa mendapati rumah laut mereka terletak kira-kira 12 batu nautika dari pantai.

Pasangan itu sebahagian daripada komuniti usahawan Ocean Builders yang menyasarkan membina kediaman tetap di perairan di luar wilayah dikuasai mana-mana kerajaan, lapor Daily Mail.

Struktur itu dikatakan berada di bawah bidang kuasa kerajaan, tetapi masih dalam zon ekonomi eksklusif Thailand.

Bagaimanapun, Elwartowski yang juga jurutera perisian untuk tentera Amerika Syarikat di Afghanistan, Jerman dan Korea Selatan mendakwa kediaman mereka melepasi sempadan perairan Thailand.

Elwartowski dikatakan membayar AS$150,000 (RM624,386) untuk membina kediaman itu menggunakan hasil dagangan mata wang kripto.

Kolonel polis Nikorn Somsuk mengesahkan, satu aduan rasmi dibuat di balai polis Phuket semalam.

“Pasukan tentera laut mendapati sebuah tangki konkrit terapung di laut tetapi tiada siapa di atasnya. Jadi mereka memfailkan tuduhan di bawah artikel jenayah 119,” kata Nikorn.

Jika pasangan itu didapati bersalah, mereka boleh dihukum mati.

Tentera Laut Diraja Thai dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pasangan itu ‘tidak meminta kebenaran kerajaan Thailand’ sebelum membina rumah.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan, pasangan itu kini bersembunyi di satu tempat selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:10 AM