Ibrahim Isa

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor, hari ini.

Baginda berkenan selepas menerima surat berkenaan pada 10 pagi di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, hari ini.

Dalam satu kenyataan akhbar, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani berkata, Sultan Johor berkenan melantik Menteri Besar yang baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar pada 9.30 pagi esok di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.

Pada 9 pagi hari ini, Osman menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar kepada Sultan Johor.

Semalam, Osman dipetik sebagai berkata, beliau masih Menteri Besar Johor berikutan belum menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan yang berada di luar negara.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu, bahawa Osman meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor selepas meneraju kerajaan negeri dalam tempoh kurang 11 bulan.

ADUN Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei lalu susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018.

Ketika dilantik, Osman adalah Setiausaha PH dan BERSATU Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar.

Pada PRU lalu, PH memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN (19 kerusi) dan PAS (satu kerusi) sekali gus mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi menewaskan calon BN, Datuk Ramlee Bohani (11,959 undi) dan calon PAS, Dzulkifli Suleiman (2,321 undi).

Pengerusi PH Johor dan BERSATU Johor itu pernah dipilih sebagai ADUN Kempas ketika bersama BN selama tiga penggal bermula 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 3:21 PM
OSMAN melambaikan tangan kepada petugas media ketika hadir menghadap Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
OSMAN melambaikan tangan kepada petugas media ketika hadir menghadap Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin