ANGGOTA polis mengiringi dua suspek yang didakwa merogol remaja perempuan secara bergilir-gilir. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis mengiringi dua suspek yang didakwa merogol remaja perempuan secara bergilir-gilir. FOTO ihsan polis
Norsyazwani Nasri


REMAJA perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang 25 Mac lalu di Miri dipercayai menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, susulan kejadian itu, ibu saudara mangsa membuat laporan polis dan seterusnya dua suspek berusia 17 dan 23 tahun ditahan jam 6 petang kelmarin di Kampung Pasir, Lutong bagi membantu siasatan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, mangsa yang sepatutnya menemani ibu saudara yang akan menjalani pembedahan pembuangan hempedu di Hospital Miri dikatakan hilang, Isnin lalu.

“Namun, mangsa berjaya ditemui tiga hari kemudian oleh bapa saudaranya di sekitar Pasar Lutong.

“Ketika dibawa pulang, mangsa memberitahu kepada bapa saudaranya bahawa dua lelaki tidak dikenali merogolnya secara bergilir-gilir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, bertindak atas laporan yang dibuat, polis menahan dua lelaki warga tempatan.

“Kedua-duanya yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan,” katanya.

Terdahulu, kehilangan gadis terbabit tular di laman sosial Facebook apabila bapa saudaranya memuat naik status mengenai kehilangan itu berserta gambar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 2:04 PM