SAMBUTAN baik dan maklum balas positif diberikan peminat menambahkan lagi keyakinan mereka untuk muncul dengan lagu duet lain selepas ini. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
SAMBUTAN baik dan maklum balas positif diberikan peminat menambahkan lagi keyakinan mereka untuk muncul dengan lagu duet lain selepas ini. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Sudirman Mohd Tahir


IMPIAN peminat pasangan adik-beradik, Amira Othman dan Irfan Haris untuk berduet tercapai apabila muncul dengan single berjudul Sambil.

Walaupun pada asalnya lagu itu untuk single solo Amira, tetapi Amira yang popular dengan lagu Jaga Jaga itu berasakan ia sesuai dirakam secara duet.

Disebabkan itu, Irfan selaku komposer bersama penulis lirik yang juga abangnya, Haiqal Iskandar terpaksa menukar empat kali lirik asal lagu itu.

Irfan, 18, atau nama sebenarnya Irfan Haris Othman menyifatkan proses menyiapkan lagu itu agak mencabar selain proses rakaman yang mengambil masa panjang.

“Lagu ini saya sudah ‘peram’ setahun. Oktober tahun lalu baru saya beri kepada kakak untuk dia dengar. Sebab dia ada minta lagu daripada saya untuk dijadikan single solo. Tidak sangka pula dia menyukai lagu ini.

“Apabila dia mendengar, kakak mencadangkan lagu ini kami nyanyikan secara duet. Pada masa sama, terlalu banyak permintaan dalam kalangan peminat kami yang inginkan kami merakamkan lagu duet. Disebabkan itu, saya bersama abang terpaksa tukar semula lirik.

“Malah, proses rakaman juga mengambil masa hingga lapan jam. Sebabnya, lagu ini mengenai percintaan sepasang kekasih. Kami pula adik beradik, jadi susah nak mendapatkan ‘feel’ cinta itu,” katanya.

Menurut Irfan, dia berasa cukup bertuah apabila lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 100 episod, Jodoh Jodoh Annisa yang ditayangkan di saluran Astro Prima.

Malah, sambutan baik dan maklum balas positif diberikan peminat menambahkan lagi keyakinannya untuk muncul dengan lagu duet lain selepas ini.

“Alhamdulillah, walaupun ini percubaan pertama kami merakamkan lagu duet, peminat memberikan sambutan positif. Sudah lama mereka inginkan kami bersatu dalam lagu. Selepas mendengar hasilnya, mungkin mereka dapat rasa wujudnya keserasian.

“Saya berterima kasih pada kakak kerana menjadikan lagu ini sebagai lagu duet. Bagi saya, dia membuat pilihan tepat.

“Tidak dinafikan juga, ada yang menyamakan lagu ini dengan lagu Indonesia. Itu persepsi masing-masing. Paling penting, ini hasil karya asli daripada saya,” katanya.

KAMI adik beradik, jadi susah nak mendapatkan ‘feel’ cinta itu. - Irfan
KAMI adik beradik, jadi susah nak mendapatkan ‘feel’ cinta itu. - Irfan

Ditanya adakah dia sudi mencipta lagu untuk penyanyi lain, Irfan berkata, dia belum bersedia ke arah itu.

“Saya sudah ada beberapa koleksi lagu. Buat masa sekarang, saya mahu menyanyikan lagu ini dulu. Dalam erti kata lain, saya ingin mengetengahkan diri sebagai penyanyi dan komposer.

“Insya-Allah, mungkin pada masa akan datang saya akan mencuba untuk mencipta lagu buat penyanyi lain. Dalam bidang ini, saya akan bekerjasama dengan abang. Malah, kami juga ada merancang untuk berduet,” katanya yang bakal muncul dengan single solo.

Dalam perkembangan lain, Irfan bakal menyambung pengajian di peringkat Diploma Seni dan Hiburan di sebuah kolej swasta.

“Selepas tamat peperiksaan ‘O level’, emak suruh sambung belajar. Sekurang-kurangnya kena ada diploma. Secara peribadi, ia memang perlu dan pelajaran kena diutamakan. Ia adalah untuk masa depan. Kita tidak tahu sampai bila akan berada dalam bidang ini. Rezeki itu ketentuan Allah SWT,” katanya.

AMIRA SUSAH SUKA LAGU

Kejayaan beberapa single sebelum ini membuatkan Amira, 26, atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman menjadi takut jika single terbaharu gagal mencuri perhatian.

Disebabkan itu, Amira mengakui dia mengambil masa setahun untuk mencari lagu sesuai sebelum memilih Sambil.

“Betul orang kata, apabila lagu kita berjaya, kita kena cari lagu yang lebih bagus. Kita kena jaga momentum itu. Jadi, saya agak susah mahu memilih lagu yang betul-betul kena dengan jiwa.

“Dalam banyak lagu yang Irfan berikan, saya suka lagu Sambil ini. Melodi lagu ini adalah jiwa saya. Cuma, saya mencadangkan ia dinyanyikan secara duet. Terpaksalah mereka menukar jalan cerita lagu ini. Sampai bergaduh dibuatnya sebab masing-masing ada pendapat,” katanya.

Menurut Amira yang bakal muncul dalam filem Tiada Tajuk berkata, dia memilih adik sendiri selaku rakan duet kerana yakin dengan keserasian mereka.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir pun mahu berduet dengan sesiapa. Bukan apa, mahu mencari suara yang boleh ‘ngam’ dengan saya agak sukar.

“Saya berharap, gabungan kami mampu menambat hati peminat. Sekiranya lagu ini pergi lebih jauh, insya Allah, kami akan muncul dengan single duet lain.

“Kalau bukan dengan Irfan, dengan Haiqal pula. Sebab dia pun boleh menyanyi. Cuma sekarang dia sedang belajar di Melbourne, Australia. Malah, saya merancang mengadakan persembahan mini bersama adik-beradik. Doakan semua ini dipermudahkan,” katanya.

Menurut Amira, bermula tahun ini dia tidak mahu lagi mengambil masa lama untuk muncul dengan single lain.

“Selepas lagu ini akan ada lagu solo daripada saya. Saya tidak mahu lagi membuang masa tanpa sebarang produk. Sepanjang setahun tanpa lagu baru, saya banyak belajar terutama dalam mencari kelainan,” katanya.

Pada masa sama, Amira berkata, dia masih solo dan tidak terikat dengan sebarang komitmen percintaan.

“Buat masa sekarang kerjaya adalah cinta saya. Saya percaya, jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Kalau saya mencari pun, tapi andai bukan jodoh, tidak boleh juga.

DALAM banyak lagu yang Irfan berikan, saya suka lagu Sambil ini. Melodi lagu ini adalah jiwa saya. - Amira
DALAM banyak lagu yang Irfan berikan, saya suka lagu Sambil ini. Melodi lagu ini adalah jiwa saya. - Amira

“Saya anggap ini semua rezeki. Cuma, saya sentiasa berdoa dipertemukan dengan jodoh yang terbaik. Dalam soal perkahwinan, kita tidak boleh buat main. Ia tanggungjawab besar buat pasangan.

“Jadi, sekiranya saya sudah ada pasangan dan sampai waktunya berkahwin, saya yakin ketika itu sudah bersedia ke fasa seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:00 AM