TMJ bersama pemilik Valencia, Peter Lim (paling kanan) dan Ronaldo di Juventus.
TMJ bersama pemilik Valencia, Peter Lim (paling kanan) dan Ronaldo di Juventus.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Selepas menakluk saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan menjulang pelbagai kejuaraan domestik selain turut meraih trofi Piala AFC 2015 serta layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikhabarkan berminat untuk melebarkan sayapnya di Eropah dengan menjadikan kelab Sepanyol, Valencia sebagai sasarannya.

Tunku Ismail yang ketika ini berada di Turin, Itali bagi membincangkan kerjasama dengan gergasi Serie A, Juventus difahamkan turut mengadakan pertemuan bersama pemilik Valencia, Peter Lim di sebuah restoran terkemuka sambil ditemani ejen terkenal dalam kancah bola sepak dunia, Jorge Mendes dan pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo.

Menurut laporan media Itali, sejurus berakhirnya aksi antara Juventus dan Udinese yang berkesudahan skuad kendalian Massimiliano Allegri menang 4-1, Tunku Ismail dijemput menghadiri makan malam berkenaan dan salah satu topik perbincangan turut berkisar mengenai potensi untuk mendapatkan kelab La Liga itu.

Difahamkan hubungan baik antara Tunku Ismail dan Peter Lim yang juga seorang usahawan terkenal Singapura turut menguatkan lagi spekulasi itu.

Malah, kedua-dua kelab berkenaan turut menjalinkan kerjasama pada 2014 lalu membabitkan perkongsian kepakaran, pertukaran pemain dan pembangunan akar umbi.

Jika benar, beliau bakal mengikut jejak tiga tokoh bola sepak tempatan yang membeli dan memiliki saham kelab Eropah seperti pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan; bekas pemilik Queens Park Rangers, Tan Sri Tony Fernandes dan bekas pemilik FC Bari, Datuk Dr Nordin Ahmad.

Sementara itu, JDT dan Juventus bersetuju untuk bekerjasama dengan skuad Harimau Selatan itu akan menghantar satu delegasi ke Turin dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kolaborasi yang akan dijalinkan.

JDT berminat untuk memperluaskan wawasan mereka ke Itali serta mendapatkan pandangan berguna dari kelab paling berjaya di Itali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:40 PM