KANAK-KANAK kembar empat menjadi selebriti Internet di China hingga berjaya membantu ibu bapa mereka keluar daripada kemiskinan. - Agensi
KANAK-KANAK kembar empat menjadi selebriti Internet di China hingga berjaya membantu ibu bapa mereka keluar daripada kemiskinan. - Agensi
Agensi

BEIJING: Sepasang suami isteri yang dihimpit kemiskinan membesarkan empat anak kembar seiras, berjaya mengubah nasib mereka dengan hanya menyiarkan perjalanan kehidupan setiap hari di Internet.

South China Morning Post melaporkan, Zhao Jianhua, 33, dan isterinya yang tinggal di Xianyang, wilayah Shaanxi, China sebelum ini terpaksa bergantung harap dengan bantuan kerajaan sejak melahirkan kembar perempuan itu pada 2014.

Bagaimanapun, pasangan itu bijak mengambil peluang menyiarkan aktiviti anak mereka setiap hari secara siaran langsung sejak setahun lalu hingga kanak-kanak terbabit menjadi selebriti media sosial dengan lebih dua juta pengikut di platform TikTok dan lebih sejuta pengikut di Kwai.

Zhao turut menjual produk pertanian kepada pengikut di media sosial hingga membantunya keluar daripada kemiskinan.

Thepaper.cn melaporkan, Zhao sukarela dan nekad keluar dari senarai kemiskinan kerana tidak mahu terus bergantung dengan kerajaan.

“Kami mempunyai ramai pengikut di media sosial dan kini tidak perlu lagi bergantung dengan bantuan kerajaan.

“Kami pernah menerima bantuan elaun asas tetapi ia sudah dibatalkan kerana kini boleh hidup berdikari.

“Menyara empat anak adalah di luar kemampuan keluarga normal. Ia memerlukan banyak belanja untuk membeli susu formula. Kehidupan kami sebelum ini susah dan terlalu miskin,” katanya yang berhenti kerja pada 2014 untuk menjaga anak.

Video siaran langsung menjadi trend di China sejak dua tahun lalu apabila orang ramai menggunakannya sebagai cara menjana pendapatan dan publisiti.

Bintang siaran langsung itu mendapat untung secara terus daripada pengikut yang memberi ‘hadiah’ menerusi mata wang dalam aplikasi yang boleh ditukar kepada bentuk wang.

Beberapa individu yang mendapat paling ramai pengikut di media sosial yang menonton video siaran langsung itu dikatakan mampu meraih hingga beribu yuan hanya untuk sekali tayang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 6:30 AM