Keadaan mangsa yang melecur akibat terkena air panas. FOTO Ihsan Keluarga
Keadaan mangsa yang melecur akibat terkena air panas. FOTO Ihsan Keluarga
Izlaily Nurul Ain Hussein


HANYA dalam beberapa saat, seorang ibu yang berpaling untuk mengambil gula bagi menyediakan air buat suaminya dikejutkan dengan jeritan anak tunggal yang melecur apabila teh o panas dalam gelas tumpah ke badan kanak-kanak itu.

Nor Hayati Yazid, 23, berkata, kejadian 2 petang semalam di rumahnya di Kempas, Johor Bahru ketika dia membancuh teh o untuk suaminya, Mohd Azarul Alaudin, 29, yang baru pulang dari kerja.

Katanya, ketika kejadian suaminya terlelap kerana penat dan mahu berehat sebentar manakala dia di dapur menyediakan air panas.

“Lepas saya tuang air panas dan teh ke dalam gelas, saya berpaling untuk mengambil gula.

“Dalam sekelip mata saya dengar Nur Afeeya Humaira (Afeeya) menangis dan melihat air panas dalam gelas itu tumpah ke atas badannya.

“Saya pelik, selalu dia tak dapat capai barang atas meja yang lebih tinggi daripadanya.

“Gelas itu juga saya letak ke arah lebih jauh dari hujung meja. Saya tidak perasan sama ada dia panjat atau dia terlanggar meja sehingga menyebabkan gelas itu jatuh,” katanya hari ini.

Nor Hayati berkata, dia kemudian membuka pakaian Afeeya dan melihat kulit badan anak perempuannya itu mula menggelupas sebelum membawanya ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Bagaimanapun katanya, kerana ketiadaan pakar di HSI, anaknya yang berusia setahun tiga bulan itu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini.

“Petang semalam, doktor sudah memeriksa Afeeya dengan mencuci kesan lecur, membalutnya sebelum memberi ubat tahan sakit.

“Doktor juga hairan, air panas yang tumpah itu hanya segelas, tetapi boleh mengakibatkan anak saya melecur kira-kira 13 peratus,” katanya.

Afeeya melecur pada badan, muka, bahu, lengan dan leher manakala kawasan punggung ke bawah terselamat.

Menurut Nor Hayati, sehingga kini, Afeeya kerap menangis dan merengek terutamanya apabila ubat tahan sakit yang diberi habis.

“Doktor belum membenarkan kami membawa pulang Afeeya kerana dia masih perlu dipantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 3:35 PM