Sarah Zulkifli


PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh yang menoreh muka teman wanitanya menggunakan pisau, minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mencederakan wanita berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mabel S Muttiah menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh, Md Saidul Islam, 21, yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon.

Hal itu berikutan peguam, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon satu tarikh lain bagi pihak pembelaan menyediakan mitigasi.

Dalam prosiding itu, tertuduh yang memakai baju-T hanya menundukkan kepalanya dalam kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan parah ke atas Nur Zawati Zainal Abidin, 24, yang bertugas sebagai penolong pengurus sebuah kedai telefon bimbit di muka menggunakan pisau.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan lif tingkat bawah Tropicana City Mall, di sini, jam 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan tertuduh adalah warga asing.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kejadian itu, mangsa yang juga rakan sekerja tertuduh mengalami luka hampir lima sentimeter bermula dari bibir hingga pipi kanan selepas ditoreh lelaki itu menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, susulan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan sebelum laporan polis dibuat. Berdasarkan maklumat itu, polis kemudian berjaya menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 8:38 AM