SULTAN Ibrahim berkenan menerima menghadap Noh  (dua dari kiri), Yahya (kanan) dan Md Rofiki di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan Royal Press Office.
SULTAN Ibrahim berkenan menerima menghadap Noh (dua dari kiri), Yahya (kanan) dan Md Rofiki di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan Royal Press Office.
Ibrahim Isa


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang menteri yang dikatakan berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Baginda bertitah, peraturan bagi semua masjid di Johor adalah tidak ada sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya kecuali yang mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sultan Ibrahim bertitah, pemimpin politik berkenaan yang juga seorang Ahli Parlimen dan menteri Kabinet perlu segera menghadap Baginda serta memohon maaf secara bersurat dan tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini adalah tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titahnya kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahma dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Md Rofiki A Shamsudin.

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim bertitah, semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid perlu sentiasa mematuhi peraturan dikeluarkan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab memastikan perkara itu berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin berkenaan sedar akan kesilapan yang dibuat dan segera meminta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 7:30 PM