BERUk mati ditembak penduduk. Gambar kecil (kecederaan dialami mangsa). FOTO Rosli Ilham
BERUk mati ditembak penduduk. Gambar kecil (kecederaan dialami mangsa). FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SEORANG pengawal keselamatan menerima lima jahitan di kepala dan cedera di kaki selepas diserang seekor beruk liar yang tiba-tiba naik minyak di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau, Dungun, malam tadi.

Mangsa, Norhisham Mohamed Nor, 40, ketika itu dikatakan sedang menjalankan tugas berkawal di sekolah berkenaan sebelum didekati haiwan liar berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Norhisham berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika dia sedang berehat di pondok kawalan sementara menunggu waktu Isyak.

Katanya, dia hanya menyedari kehadiran haiwan itu apabila merasa geli selepas tersentuh beruk berkenaan.

“Pada mulanya saya menyangkakan, ia seekor anjing namun apabila bangun saya melihat beruk berkenaan yang kemudiannya menerkam ke arah saya.

“Haiwan itu kemudiannya menggigit kaki kanan menyebabkan saya terjatuh dan kepala terkena besi penghalang di pos kawalan terbabit.

“Selepas hampir lima minit ‘bertarung’ untuk melepaskan diri akhirnya saya mencapai sebatang besi dan menghayunkan ke arah beruk berkenaan supaya ia lari,” katanya ketika ditemui sedang mendapatkan rawatan di Hospital Dungun, di Dungun, hari ini.

Norhisham kemudiannya menghubungi isterinya, Norhayati Ali, 41, supaya datang ke lokasi kejadian untuk membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Norhayati, beruk berkenaan dikatakan turut menyerang beberapa penduduk kampung berhampiran, sejak petang semalam.

“Bimbangkan keselamatan orang ramai, beberapa penduduk mengambil keputusan untuk menembak beruk berkenaan kira-kira jam 9 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 12:17 AM