MAMAT Khalid. FOTO Arkib NSTP
MAMAT Khalid. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“ALHAMDULILLAH, Allah SWT makbulkan doa semua,” kata isteri pengarah popular, Mamat Khalid, 55, iaitu Hasmah Hassan mengenai perkembangan terkini suaminya, ketika ini.

Menurutnya, keadaan suami semakin baik dan dalam keadaan separuh sedar sekarang.

“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya. Terutama kepada pihak beberapa masjid yang buat solat hajat dan bacaan yassin,” katanya.

Hasmah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Intan ketika dihubungi berkata, Mamat juga masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

“Doktor mahu suami berehat dan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat,” katanya.

Difahamkan, Mamat yang popular dengan siri filem Hantu Kak Limah dan Rock dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk berterusan hingga dia sukar untuk tidur.

Terdahulu, Mamat dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke pusat perubatan berkenaan.

Doktor kemudian memberikannya dos ubat yang membolehkannya berehat.

Pada April 2017, Mamat pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat kepenatan dan sesak nafas.

Mamat baru saja selesai mengarah filem sekuel Rock berjudul Rock 4: Quo Vadis Komer yang kini dalam proses suntingan.

Berita berkaitan

Mamat Khalid masih koma

'Doakan Abang Mamat segera sihat...'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 1:38 PM