Garret Dawum


Kuala Lumpur: “Murah saja harga alat ini. Beli satu RM28. Kalau beli borong, lagi murah saya boleh bagi,” kata seorang jurujual di sebuah kedai menjual peralatan elektrik di Chow Kit.

Jurujual yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ana itu terus meyakinkan wartawan untuk membeli alat jimat elektrik yang dijual secara terbuka di dalam kedai tempatnya bekerja.

Malah, dia juga memberi penerangan mengenai penggunaan alat itu sambil mendedahkan bahawa ia mampu menjimatkan elektrik sehingga 30 peratus.

“Senang saja mahu guna. Kamu letak saja di mana-mana soket elektrik. Pasti elektrik kamu boleh jimat.

“Di sini boleh dapat harga murah. Tidak perlu beli yang mahal-mahal. Memang ramai yang cakap ia boleh jimat elektrik,” katanya.

Apabila wartawan cuba bertanyakan berkenaan jaminan alat itu, jurujual terbabit terus meninggikan suara dan memberitahu kebanyakan peralatan yang dijual di kedai mereka tidak mempunyai jaminan.

“Kalau mahu warranty (jaminan) jangan cari di sini, kedai kami tidak menyediakannya. Di sini, semua barang murah saja.

“Yang ada warranty itu mahal. Boleh sampai RM300. Terpulang pada you (kamu), mahu pakai atau tidak,” tegasnya.

Wartawan yang melakukan pemerhatian di situ terus beredar dan mencari lagi kedai elektrik lain di kawasan sekitar sekiranya ada menjual alat jimat elektrik.

Ternyata, di sebuah kedai berhadapan, dua wanita dalam lingkungan 50-an yang berada di kaunter kedai itu yang menyapa wartawan berbisik sesama sendiri apabila ditanya jika ada menjual alat jimat elektrik.

Seorang daripadanya membawa wartawan ke sudut kedai dan mengambil sesuatu berbentuk segi empat berwarna coklat di dalam beg miliknya.

Katanya, itu adalah alat jimat elektrik tetapi dia menjualnya secara senyap-senyap dan tidak boleh dijual secara terbuka memandangkan ia tidak mempunyai pengesahan pihak berkuasa.

“Alat ini dari China tetapi jangan risau ia boleh jimat elektrik. Saya pun guna di rumah. Bil bulan lepas RM100 lebih, tapi bulan ini jadi kurang sejak guna alat ini.

“Harganya murah saja RM60. Kalau mahu, saya jual. Tinggal ini saja,” katanya.

Lain pula kisahnya di kedai sebelah apabila seorang lelaki yang berdiri di luar kedai memberitahu dia tidak menjual alat seperti itu kerana takut ditangkap.

Dia yang dikenali sebagai Lim memberitahu, alat itu memang dilarang untuk dijual kerana tiada pengesahan.

“Kalau you (kamu) mahu kena tangkap, you boleh beli. Tapi saya tidak ada jual. Saya tidak tahu kedai mana yang ada jual.

“Mana ada alat murah seperti itu boleh jimat elektrik. Tipulah. Jangan percaya,” katanya sambil memberitahu kedainya hanya menjual peralatan yang mempunyai pengesahan dari pihak berkuasa dengan adanya jaminan.

Pemerhatian wartawan di laman sosial turut mendapati lambakan penjual alat jimat elektrik dan ia ditawarkan dengan harga murah serta testimoni yang boleh membuatkan pelanggan ‘cair’.

Tindakan mereka menjual alat itu secara terbuka seolah-olah menunjukkan mereka tidak takut atau bimbang dengan kawalan dan pemantauan daripada pihak berkuasa.

Usah kaut untung tipu pengguna

Penjual perlu bersikap jujur dan lupakan niat untuk terus mengaut keuntungan besar.

Itu nasihat Pengarah dan Pengasas Pusat Pengkhususan Tenaga Kuasa Termaju Universiti Malaya (UMPEDAC), Profesor Dr Nasrudin Abd Rahim berkenaan penjualan alat jimat elektrik tanpa kelulusan yang semakin berleluasa termasuk di media sosial.

Beliau berkata, peralatan jimat elektrik yang dijual perlu dipastikan oleh pengguna khususnya tanda kelulusan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Tidak dinafikan ada banyak alat penjimatan tenaga elektrik yang dijual di pasaran namun kebanyakannya tidak mempunyai kelulusan SIRIM.

“Alat yang tidak mempunyai tanda kelulusan itu boleh menjurus kepada punca berlakunya litar pintas sehingga mengakibatkan kebakaran,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kebanyakan alat penjimatan tenaga elektrik yang tiada kelulusan SIRIM berkualiti rendah.

“Sebab itu, pengguna perlu berhati-hati dengan tawaran disediakan.

“Pastikan peralatan itu juga mencapai piawaian. Teliti perkara ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Selain itu, Nasrudin turut memberitahu, setiap alat penjimatan elektrik yang ditawarkan perlu ada kelulusan termasuk pengujian ditetapkan badan tertentu seperti Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Saya berpendapat cara paling berkesan untuk penjimatan tenaga elektrik adalah melalui penggunaan tenaga secara cekap,” katanya.

“Pengenalan label cekap tenaga untuk beberapa kelengkapan elektrik domestik seperti peti sejuk, kipas, televisyen, pendingin hawa dan mentol lampu adalah langkah terbaik dilakukan ST.

“Label cekap tenaga ini semestinya akan memberi maklumat lebih terperinci dalam membantu pengguna membuat pilihan terhadap barang elektrik yang cekap,” katanya.

Justeru, beliau memaklumkan UMPEDAC ada memperkenalkan Sistem Penyongsang Mikro Fotovoltaik (PV) Tunggal yang dapat membantu dalam kecekapan tenaga.

“Alat ini yang dibangunkan selama setahun sangat mudah alih, tahan lasak dan kecil tapi berkuasa.

“Setakat ini, alat itu banyak digunakan peniaga trak makanan dan tenaga yang tersimpan mampu bertahan antara tujuh hingga lapan jam bergantung kepada beban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:44 AM