Agensi

CANBERRA: Australia kini berdepan dengan gelombang panas yang merekodkan suhu tertinggi dalam tempoh 80 tahun hingga menyebabkan jalan raya cair, haiwan mati, kebakaran hutan dan ada laporan yang tidak disahkan mendakwa tayar kenderaan turut cair.

Cuaca di negara itu mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius untuk enam hari berturut-turut dengan wilayah New South Wales, Australia Selatan dan Victoria mencatatkan rekod baharu paling panas.

Keadaan itu menyebabkan ribuan penduduk Australia membanjiri Pantai Bondi di Sydney untuk menyejukkan badan.

Hari paling panas direkodkan di Australia adalah pada 7 Januari 2013 apabila suhu maksimum purata 40.3 darjah Celsius.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu sahaja, New South Wales memecahkan 14 rekod hari paling panas termasuk lapan rekod pada bulan ini termasuk bandar Griffith yang mencatatkan suhu mencecah 46.4 darjah Celsius.

Bandar Menindee yang terletak di barat New South Wales pada awal minggu lalu mencatatkan suhu tertinggi iaitu 47.8 darjah Celsius.

Marble Bar di Australia Barat mencatatkan suhu tertinggi dalam tujuh hari terakhir dengan 49.1 darjah Celsius yang dicatat pada Ahad lalu. Tarcoola di Australia Selatan turut mencatatkan suhu mencecah 49 darjah Celsius.

Simon Grainger dari Biro Meteorologi Australia memberitahu CNN, berdasarkan keadaan dan tempoh masa, ini adalah gelombang haba paling ketara yang melanda Australia sejak Januari 1939.

Kerajaan tempatan dan Biro Meteorologi mengeluarkan berpuluh-puluh amaran dengan memberitahu pemandu untuk berhenti lebih kerap kerana kereta cenderung untuk rosak dalam cuaca melampau.

Perkhidmatan Bomba di New South Wales memberitahu pihaknya menerima banyak laporan mengenai kebakaran hutan dan belukar.

Tiga kanak-kanak di barat daya Sydney terpaksa dirawat akibat kekurangan air dan muntah-muntah manakala 16 orang di Australia Selatan dimasukkan ke hospital akibat strok haba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:30 AM