KHAI BAHAR. FOTO Arkib NSTP
KHAI BAHAR. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI remaja popular, Khai Bahar berharap peminat yang ingin mengerjakan ibadah umrah bersamanya pada Mei ini sempena Ramadan perlu membetulkan niat mereka.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharuddin berkata, tujuan ke Makkah adalah untuk beribadah kepada Allah selain ingin mendapatkan ganjaran berpuasa di sana.

“Tidak dinafikan terdapat segelintir pihak beranggapan peminat yang akan menyertai rombongan umrah ini disebabkan saya. Apatah lagi ini kali kedua saya diberi peluang mengerjakan umrah bersama peminat.

“Saya percaya mereka sendiri tahu tujuan ke sana. Kalau saya tak terangkan pun, mereka sedia maklum. Cuma, sekadar ingatan bersama niat kita kena betul iaitu kerana Allah SWT.

“Namun, tak terlintas pun di fikiran saya mengenai perkara ini. Setiap individu yang dijemput ke sana mempunyai tujuan dan niat sama iaitu ingin beribadah,” katanya kepada Harian Metro.

Khai yang dilantik menjadi ikon agensi umrah, Raza Holidays Sdn Bhd berkata, dia tidak menjadikan status sebagai artis satu kelebihan untuknya mendapat layanan istimewa sepanjang berada di sana.

“Ketika kali pertama mengerjakan umrah dua tahun lalu semua orang fokus nak beribadah. Artis atau orang biasa semua sama saja. Tidak perlu wujud sebarang perbezaan.

“Jadi, untuk kali kedua ini saya berharap segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Macam saya sendiri, peluang ke Tanah Suci Makkah bukannya mudah. Tidak semua orang mendapat peluang ini.

“Disebabkan itu, peluang yang ada harus digunakan sebaiknya. Rugi jika kita tidak manfaatkan,” katanya.

Berkongsi mengenai perlantikannya bersama Azadan Rabbani, Khai menganggap ia adalah rezeki.

Malah, Khai juga berhajat untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah sekali lagi.

“Mengerjakan ibadah umrah sangat indah. Selepas kali pertama ke sana, saya memang sudah berniat nak datang lagi. Alhamdulillah, tahun ini saya diberikan rezeki lagi. Insya Allah, kalau keadaan kesihatan mak dan ayah mengizinkan, mereka akan pergi juga.

“Ini bukan percutian, sebaliknya pengalaman yang takkan jumpa di mana-mana. Disebabkan itu, saya memang tak nak lepaskan peluang. Satu kerugian besar jika saya tolak.

“Macam program amal lain pun, saya secara sukarela untuk buat. Saya merelakan diri untuk melakukan perkara yang berfaedah,” katanya.

Umrah bersama Khai dan Azadan pada Ramadan ini bermula pada 2 hingga 13 Mei berharga RM7490 dan turut disertai Daie Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:47 AM