BERNAMA

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, hari ini, dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuat kuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” katanya.

Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lepas, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:47 AM