Siti Nurhaliza memotong kek hari lahirnya ke-40 di sisi suami. FOTO NSTP/ROHANIS SHUKRI
Siti Nurhaliza memotong kek hari lahirnya ke-40 di sisi suami. FOTO NSTP/ROHANIS SHUKRI
Najiy Jefri


“MASA dan ruang serta kasih sayang yang tidak terhingga itu lebih bermakna daripada harta benda yang diberikan,” kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Beliau mengulas selepas ditanya mengenai hadiah yang diberikan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 semalam.

Siti berkata, hadiah yang diberikan biarlah kekal rahsia kerana dia lebih menghargai kasih sayang dan perhatian yang diberikan suaminya.

“Sebenarnya majlis ini dia yang rancang. Saya tak tahu apa-apa pun. Saya cuma bersiap untuk majlis ini.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang. Lebih daripada cukup. Allah juga kurniakan impian saya untuk memiliki anak, Siti Aafiyah, Alhamdulillah.

“Selain itu, baru-baru ini dia membawa saya bercuti ke Dubai bersama keluarga. Itu juga salah satu hadiah bermakna yang diberikan,” katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun kelahiran ke-40 nya yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Menurut Siti, suaminya sangat mengambil berat dari setiap sudut.

“Terima kasih kerana membahagiakan saya. Terima kasih kerana bagi peluang bersama keluarga, sahabat dan rakan artis pada malam ini (semalam).

“Dia seorang suami yang sentiasa mengambil berat mengenai diri saya dalam setiap sudut.

“Kejutan yang dilakukan ini adalah salah satu daripadanya,”katanya.

Majlis yang berlangsung penuh gemilang itu turut dihadiri rakan-rakan artis popular seperti Faizal Tahir, Hael Hussaini, Fasha Sandha, Khai Bahar, Nelydia Senrose dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:37 PM