Sudirman Mohd Tahir


Single Ku Bersuara nyanyian Ernie Zakri yang dilancarkan 12 Disember lalu menjadi tanda aras baru dalam kerjaya seninya.

Lagu ciptaan Syamel, Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham itu terus mendapat perhatian peminat dan penggiat muzik tanah air.

Lagu yang menceritakan perjalanan hidupnya sepanjang sembilan tahun menjadi penyanyi itu bukan bermaksud dia mula bersikap diva, sebaliknya sekadar meluahkan kehendak hati terhadap sesuatu perkara.

“Selepas sembilan tahun berada dalam industri, hanya baru-baru ini saja peminat mula mengenali saya. Selama ini saya tidak berani berkata ‘tidak’. Itu membuatkan perjalanan karier saya perlahan.

“Saya bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan saya selama ini. Mungkin mereka ada pendapat tersendiri yang mana terbaik untuk saya ketika itu.

“Namun, secara peribadi saya berpendapat terdapat perkara yang tidak sesuai. Contohnya, konsep lagu dan pakaian. Namun, status sebagai penyanyi baru membuatkan saya tidak berani menyuarakan pendapat. Saya ikut saja,” katanya.

Menurut Ernie, status sebagai penggiat seni sepatutnya memberikan kebebasan kepada artis untuk saling berkongsi idea.

Keterbukaan dalam perkongsian idea amat penting dalam memastikan sebuah produk berkualiti dapat dihasilkan.

“Diakui selepas lagu Aku Cinta berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL), baru saya menemui identiti dan hala tuju dalam muzik. Sejak itu, saya yakin dengan pilihan membabitkan kerjaya,” katanya.

Ditanya tidakkah dia bimbang dilabel diva gara-gara pendiriannya untuk bersuara dalam sesuatu perkara, Ernie berkata, terdapat perbezaan antara berkata ‘tidak’ dalam nada berlagak dan menolak.

“Sebagai penyanyi, kita perlu ada pendirian. Dalam masa yang sama perlu bijak menyatakan pendapat masing-masing.

“Terdapat perbezaan antara berkata ‘tidak’ dalam nada yang berlagak dan menolak dengan sopan. Jadi, saya berharap perkara sebegini perlu difahami semua pihak. Jangan terlalu mudah menjatuhkan hukum,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single itu, Ku Bersuara amat dekat dengan hatinya kerana lagu itu adalah rangkuman penceritaan sepanjang sembilan tahun bergelar penyanyi.

“Single ini mengalami proses saringan pelbagai peringkat sebelum direkodkan. Saya terbabit sebagai pemberi idea. Temanya sangat jelas iaitu bukan mengenai percintaan.

“Ia mengenai insan yang mengalami tekanan emosi. Saya berharap semua pendengar dapat menerima baik lagu ini,” katanya.

Serentak dengan pelancaran itu adalah tayangan rasmi muzik video yang dilakonkan sendiri oleh Ernie.

Menariknya, muzik video sentuhan Izuan Mokhtar itu turut menampilkan pelakon pujaannya iaitu Que Haidar.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan Que berlakon dalam muzik video ini. Saya tidak menjangka dia sudi bekerjasama dengan saya.

“Orang lama seperti Que, dia suka berkongsi ilmu. Saya selesa berlakon di sampingnya,” katanya.

Melihatkan hasil muzik video itu, ramai berpendapat Ernie boleh berlakon dengan baik.

“Terima kasih kepada yang memberi pujian dan maklum balas positif. Cuma, buat masa sekarang biarlah saya fokus kepada nyanyian saja.

“Bukan tak nak mencuba tetapi ramai lagi pelakon yang bagus dan lebih layak daripada saya untuk berada dalam bidang itu. Insya-Allah, kalau ada rezeki suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 6:00 AM