Kereta Perodua MyVi (kiri) dinaiki empat penyamun remuk selepas merempuh beberapa kenderaan awam dan kereta polis yang mengejar mereka di Tongkang Pechah, Batu Pahat. Foto : IHSAN POLIS JOHOR
Kereta Perodua MyVi (kiri) dinaiki empat penyamun remuk selepas merempuh beberapa kenderaan awam dan kereta polis yang mengejar mereka di Tongkang Pechah, Batu Pahat. Foto : IHSAN POLIS JOHOR
Mohamed Farid Noh


POLIS menahan empat penjenayah yang menyamun penjual aiskrim selepas mengejar mereka sejauh 46 kilometer di Tongkang Pechah, dekat Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, penjenayah terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan selepas Perodua Myvi dinaiki mereka remuk dan tidak dapat bergerak kerana merempuh beberapa kenderaan awam serta kenderaan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, suspek dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan dengan kawalan ketat.

“Kira-kira 1.30 tengah hari tadi, berlaku kejadian samun membabitkan seorang lelaki Pakistan yang sedang menjual aiskrim di jalan Lam Lee, Yong Peng oleh dua lelaki dan seorang wanita.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah Perodua Myvi ke arah Segamat namun apabila sampai di Chaah, kereta suspek diminta berhenti oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) polis Segamat.

“Bagaimanapun suspek berpatah balik ke arah Yong Peng, namun apabila sampai di Jalan Labis-Yong Peng, anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Yong Peng mengejar sehingga ke Jalan Bindu-Tongkang Pechah.

“Kereta suspek bertindak melanggar kenderaan awam dan kenderaan anggota polis dan akibat kemalangan berkenaan, Perodua Myvi itu remuk dan tidak dapat bergerak. Semua suspek berjaya ditangkap di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Razali berkata, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan ketika menyamun serta wang tunai RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 6:45 PM